amree18/08/2026 - 18:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Pemilik motosikal kini mempunyai pilihan lebih selamat untuk menjual kenderaan mereka menerusi RideNow, platform pasaran digital motosikal yang diperkenalkan Zetrix AI Berhad bersama Autzen Marketing Sdn Bhd, dengan proses bidaan dikendalikan rangkaian pengedar yang disahkan.
Platform baharu itu dibangunkan anak syarikat Zetrix AI, MY EG Sdn Bhd (MYEG) dan MYEG TwoCar Sdn Bhd (TwoCar), bagi mengurangkan risiko penipuan dalam urus niaga dalam talian selain menyediakan proses jualan yang lebih telus dan tersusun.
RideNow mengintegrasikan proses penilaian dan pemeriksaan motosikal, penyertaan pengedar, pengambilan kenderaan, pindah milik serta pembayaran dalam satu platform, sekali gus menawarkan alternatif kepada pemilik motosikal berbanding saluran jual beli tidak rasmi.
Zetrix AI berkata pasaran itu mempunyai potensi besar susulan jumlah motosikal berdaftar di Malaysia yang dilaporkan mencecah sehingga 19 juta unit, sekali gus membuka peluang untuk menjadikan urus niaga motosikal lebih sistematik dan dipercayai.
Ketua Pegawai Eksekutif RideNow, TC Wong berkata pemilik motosikal seharusnya dapat menjual kenderaan mereka tanpa berurusan dengan pihak tidak dikenali, tawaran tidak menentu atau prosedur yang rumit.
“RideNow menangani cabaran ini dengan memberikan penjual maklumat lebih jelas, bidaan sah daripada rangkaian pengedar serta aliran proses teratur daripada penyenaraian kenderaan sehingga penerimaan pembayaran,” katanya.

Pengenalan RideNow turut mengambil kira peningkatan kes penipuan dalam talian, dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata kerugian akibat penipuan e-dagang melebihi RM430 juta pada suku pertama 2026.
Bagi mengurangkan risiko itu, hanya pengedar yang telah disahkan dibenarkan menyertai proses bidaan, manakala motosikal yang layak perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh sebelum ditawarkan kepada pengedar.
RideNow turut membangunkan ekosistem bersama pemain industri termasuk Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), AEON Credit Service (M) Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd, selain bekerjasama dengan RHB Insurance Bhd bagi menyediakan perlindungan waranti untuk motosikal yang diurus niaga menerusi platform itu.
Platform berkenaan turut bekerjasama dengan The Otomotif College Sdn Bhd (TOC) bagi membangunkan Program Pemeriksa Bertauliah RideNow (RCI), bertujuan meningkatkan kemahiran serta konsistensi pemeriksaan motosikal di Malaysia.
RideNow dijangka mula beroperasi pada September 2026. Sebelum pelancaran rasmi, pemilik motosikal boleh membuat semakan anggaran nilai kenderaan menerusi RideNow Price Valuation Engine serta mendaftar sebagai Penjual Pengasas untuk menyenaraikan motosikal dan menyertai proses bidaan tertutup. - DagangNews.com





