
PUTRAJAYA: Bermula daripada sifar tanpa pengalaman dalam persembahan, seramai 1,500 murid berjaya dibentuk menjadi pasukan ‘grafik manusia’ bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Jurulatih Utama Segmen Human Graphic Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nur Haslim Dawid Ahmad Suiduddin Muhammad berkata, cabaran utama adalah menggabungkan murid daripada pelbagai sekolah dengan tahap kebolehan dan pengalaman yang berbeza.
Menurutnya, tidak semua murid yang dipilih mempunyai bakat atau pengalaman dalam persembahan Grafik Manusia, malah sebahagiannya bermula tanpa sebarang kemahiran asas.
“Daripada ‘zero’ kepada hero, kita katakan, mereka ini ada yang memang sudah berbakat dan ada yang bermula daripada sifar.
“Apabila digabungkan dalam satu kumpulan seramai kira-kira 40 orang, tidak semuanya yang terbaik, tetapi selepas diberikan latihan, mereka dapat memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam berkata, proses pembentukan murid turut melibatkan latihan di sekolah, pusat latihan serta sesi Training of Trainers (TOT).
Katanya, latihan secara berterusan membantu murid menyesuaikan diri, mematuhi arahan dan membentuk disiplin sebelum mereka dibawa ke lokasi persembahan utama.
“Awalnya mungkin ada cabaran kerana mereka datang daripada pelbagai sekolah dan masing-masing mempunyai cara tersendiri, tetapi Alhamdulillah mereka dapat dibentuk dengan baik.
“Kami di jabatan dan jurulatih utama juga memberikan yang terbaik untuk memastikan mereka bersedia,” katanya.
Nur Haslim berkata, disiplin murid sepanjang menjalani latihan juga berada pada tahap yang sangat baik walaupun mereka terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja.
“Sejujurnya, saya rasa anak-anak murid pada tahun ini sangat bagus, sangat berdisiplin dan cepat menerima arahan.
“Biasalah anak-anak, banyak bercakap, tetapi apabila diberikan arahan, mereka cepat faham dan dapat melaksanakannya,” katanya.
Menurutnya, pencapaian murid itu menjadi satu kebanggaan kerana mereka bukan sahaja belajar membentuk persembahan, malah memperoleh pengalaman baharu sepanjang hampir dua bulan menjalani latihan.
Katanya, penglibatan dalam program berkenaan juga mampu menyemai nilai disiplin, tanggungjawab serta rasa bangga terhadap negara dalam kalangan generasi muda.
“Saya harap pada tahun-tahun akan datang lebih ramai murid dapat terlibat kerana mereka bukan sahaja mendapat pengalaman baharu, tetapi belajar menjadi lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai rasa bangga terhadap negara Malaysia,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang 31 Ogos, beliau berharap pasukannya dapat memberikan persembahan terbaik selepas hampir dua bulan menjalani latihan. – UTUSAN
The post Daripada ‘zero’ kepada hero, 1,500 murid jayakan ‘Grafik Manusia’ appeared first on Utusan Malaysia.






