Dasar BDR sukar dilaksana peringkat kerajaan negeri - Ab Rauf

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MELAKA - Cadangan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) di peringkat kerajaan negeri Melaka perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh kerana terdapat sektor tertentu yang masih memerlukan kehadiran fizikal.

“Jadi, dalam galakan bekerja dari rumah ini, perlu tengok portfolio mana yang boleh digunakan untuk bekerja dari rumah.

“Tak semua sektor boleh berbuat kerja dari rumah, masih ada memerlukan kehadiran fizikal untuk menyusun atur organisasi tersebut,” katanya ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelaksanaan BDR di negeri ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti BDR secara berperingkat dan terpilih dalam kalangan penjawat awam.

Anwar berkata, pelaksanaan itu dijangka memberi fleksibiliti kepada sektor awam, selain berharap sektor swasta turut mengambil pendekatan sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan sebelum ini.

Ab Rauf menambah, keputusan mengenainya perlu diteliti bagi melihat kebolehupayaan bekerja dari rumah sebelum ia dipertimbangkan.

“Saya melihat pelaksanaan bekerja dari rumah ini lebih sesuai dilaksanakan di peringkat swasta. Saya rasa tak mungkin berlaku di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Melaka itu telah menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung dengan lebih 60 gerai dibuka untuk rakyat menikmati hidangan Hari Raya.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Selain menjamu selera pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Senario dan Dayang Nurfaizah.