
KUALA LUMPUR - Dasar kerajaan adalah jelas dan tegas, iaitu tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin berkata, semua pihak dalam institusi Kerajaan, khususnya yang berjawatan Menteri harus lebih peka dan sensitif terhadap peraturan dan undang-undang.
Menurut beliau, tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Datuk Seri Tiong King Sing dan kementeriannya yang menghidangkan minuman keras dalam satu acara rasmi amat dikesali.
“Mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama.
“Seluruh jentera Kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai berhubung perkara sebegini, dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya.

Jelas Anwar, penjelasan diberikan King Sing dan MOTAC kononnya minuman keras tersebut hanya dihidangkan selepas acara berakhir tidak boleh diterima, kerana tindakan seumpama itu tidak wajar dilakukan sama sekali.
“Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah ini (minuman keras dihidangkan) setelah selesai acara rasmi, tapi tempat yang sama, majlis yang sama.
“Kami telah memberikan peringatan yang keras kepada menteri dan kementerian, supaya tidak mengulangi kesilapan ini,” katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan, peringatan akan diberikan kepada Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam isu seumpamanya lagi.
Ditanya apakah beliau akan mengarahkan menteri terbabit dan MOTAC mengeluarkan permohonan maaf, Anwar berkata, perkara itu akan dirujuk kepada King Sing untuk menentukan tindakan lanjut yang bakal diambil.
King Sing dan MOTAC berdepan kecaman hebat pelbagai pihak selepas tindakan mereka menghidangkan minuman keras dalam satu majlis makan makan malam rasmi diketahui umum.

Beliau sebelum ini menafikan tuduhan kononnya tetamu beragama Islam yang menghadiri majlis tersebut bertindak meninggalkan dewan selepas mendapati kewujudan minuman beralkohol.
Dakwa King Sing, majlis makan malam terbabit bukan dianjurkan Tourism Malaysia dan tuduhan dibuat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu tidak berasas sama sekali.
"Majlis makan malam itu adalah anjuran sektor swasta yang terlibat dalam Global Travel Meet, bukan Tourism Malaysia.
“Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook. - Getaran, 7 Oktober 2025

