Dasar kerajaan perpaduan diharap beri peluang ekonomi Sabah berkembang

19 Dec 2022 • 3:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dasar yang bakal dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan Perpaduan diharap akan dapat memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada sektor ekonomi di Sabah untuk berkembang dalam usaha meningkatkan pembangunan khususnya kepada rakyat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata ini kerana Sabah yang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia kaya dengan sumber minyak dan gas selain menjadi pengeluar utama kelapa sawit negara.

Kasim yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah berkata dengan meneroka sumber alam negeri dan ditambah nilai dengan usaha berterusan dilihat mampu membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kerajaan sudahpun dibentuk, sekarang ini kita fokus memajukan negara umumnya dan Sabah khususnya, jadi dalam hal ini kita mengharapkan fokus utama ialah memantapkan ekonomi, itu yang penting supaya masyarakat yang terkesan impak Covid-19 dapat bernafas.

“Kalau boleh kerajaan memberi banyak peluang dan ruang kepada pengusaha, usahawan supaya peluang itu dapat dibuka seluasnya dan segala kemudahan kerajaan dapat salurkan dengan segera kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, semua sektor perlu mempunyai strategi masing-masing untuk berkembang pesat dan di Sabah fokus utama adalah untuk memajukan lagi sektor pertanian dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terhenti beberapa tahun lepas akibat pandemik.

Dalam pada itu, Kasim yang dilantik sebagai Naib Canselor UMS Ke-7 pada 3 Okt lepas berharap UMS dapat dijadikan sebagai universiti sumber rujukan di rantau ini terutamanya dalam penyelidikan bidang sains marin kerana kedudukan negeri ini yang dikelilingi laut.

Selain itu, katanya, bidang pertanian juga merupakan antara fokus utama UMS memandangkan ia memiliki ramai pakar daripada kalangan pensyarah yang memberi kelebihan kepada universiti tersebut untuk menjalankan penyelidikan yang memberi manfaat kepada pembangunan Sabah.

Kasim berkata dengan penyelidikan dilakukan penyelidik UMS itu akan membantu kerajaan khususnya dalam mempertingkatkan produktiviti pertanian dan pada masa sama mampu melahirkan modal insan bertaraf dunia.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.