
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kesesuaian untuk menetapkan satu dasar umum bagi penyahklasifikasian dokumen sejarah yang ketika ini dikategorikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan sejarawan berhubung perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara Bilangan Kedua Tahun 2026 yang telah diadakan minggu ini.
“Perkara ini akan diteliti termasuk oleh Peguam Negara untuk melihat implikasi dan juga kemudahan akses kepada dokumen-dokumen sejarah. Perdana Menteri menyampaikan pandangan bahawa hal ini perlu dilaksanakan dengan segera tetapi dengan teliti,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan juga akan merujuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meneliti beberapa aspek sebelum sebarang langkah selanjutnya diambil.
“Tapi perkara-perkara yang mungkin tidak terlalu sensitif, tapi mungkin satu ketika dulu terpakai Akta Rahsia Rasmi, mungkin itu yang lebih mudah untuk dinyahklasifikasikan,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meminda Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar bagi mempercepatkan proses pengurusan dan pelupusan kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pelbagai aduan dan pandangan yang diterima berhubung prosedur sedia ada yang dilihat mengambil masa terlalu lama, selain memerlukan penyelarasan lebih berkesan antara agensi berkaitan.
“Langkah ini susulan pelbagai pandangan dan aduan yang diterima berhubung garis panduan pengurusan serta proses pelupusan kenderaan terbiar yang sedia ada yang mungkin prosesnya mengambil masa yang terlalu lama dan perlu ada penyelarasan terutama di antara agensi-agensi yang berkaitan. Proses itu akan diteruskan oleh KPKT dan juga pihak MOT,” ujarnya.- UTUSAN
The post Dasar penyahklasifikasian dokumen sejarah sedang diteliti appeared first on Utusan Malaysia.






