Cadangan mengawal pergerakan pelarian Rohingya di Malaysia sedang diteliti kerajaan dengan mengambil kira aspek keselamatan, kedaulatan negara serta hak asasi manusia.

Foto: Berita Harian
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang menilai kesesuaian pelaksanaan langkah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan proses pendataan komuniti pelarian Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kini berada pada fasa pertama, melibatkan individu di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, program itu dijangka memasuki fasa kedua dalam masa terdekat dengan tumpuan kepada pemegang kad UNHCR di luar depoh.
“Pelaksanaan fasa kedua DPP ini akan memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar DTI.
“Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi tujuan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.

Foto: NST
Beliau menjelaskan, sesi libat urus itu bertujuan mengumpulkan maklum balas dan merangka tindakan bersesuaian bagi menyelaraskan pengurusan isu melibatkan golongan berkenaan di Malaysia.
Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai status komuniti Rohingya, termasuk jumlah yang dikenal pasti, urusan dokumentasi serta pendekatan strategik kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Sumber: Berita Harian (Muhammad Yusri Muzamir)






