
Kerajaan Malaysia menggalakkan rakyat beralih daripada Waze kepada aplikasi navigasi buatan tempatan seperti Tuju, atas faktor kebimbangan terhadap keselamatan data dan kedaulatan data. Malah, penjawat awam kini dilarang menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi kerajaan, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengesyorkan Tuju sebagai alternatif kepada Waze. Aplikasi ini dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn Bhd untuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Persoalannya, adakah Tuju sudah cukup baik untuk menggantikan Waze? Kami mencubanya sendiri, dan pengalamannya agak mengecewakan. Navigasinya kurang jelas, arahannya mengelirukan dan pengalaman penggunaan secara keseluruhan yang mengecewakan, yang mana kelemahan ini berpotensi menjadi risiko keselamatan jalan raya.
Navigasi belokan demi belokan Tuju sangat mengecewakan

Ciri yang paling penting dalam mana-mana aplikasi navigasi ialah arahan belokan demi belokan (turn-by-turn), dan di sinilah Tuju paling banyak bermasalah.
Semasa menggunakan aplikasi ini, ia kerap mengulang arahan yang generik seperti “keep straight” dan “merge” tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai persimpangan atau susur keluar di hadapan. Keadaan lebih teruk di jalan yang rumit sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, yang mempunyai banyak susur lebuh raya dan jalan keluar.
Terdapat juga situasi di mana kami perlu kekal di lorong paling kiri untuk mengambil susur keluar yang betul, tetapi Tuju terus menyuruh kami “keep straight”.
View on Threads
Berdasarkan hantaran pengguna lain di Threads, ada juga mereka yang mengalami situasi di mana Tuju gagal memberikan laluan navigasi, di mana ia hanya memaparkan garis lurus. Ini sesuatu yang langsung tidak membantu kecuali anda memandu kereta terbang.
Ia juga tiada panduan lorong atau lane guidance untuk memberi petunjuk lorong mana yang patut dimasuki sebelum menghampiri persimpangan rumit. Ini adalah fungsi yang ditawarkan dengan jauh lebih baik oleh Waze dan Google Maps, terutamanya di lebuh raya bertingkat. Selain itu, Tuju tidak mempunyai data trafik masa nyata, ciri yang penting untuk membantu pemandu memilih laluan paling pantas.
Malahan, kami turut berdepan masalah maklumat arahan yang rosak apabila Tuju memaparkan kod HTML pada arahan navigasinya.
Ini bukan sekadar masalah kecil. Apabila pemandu tidak boleh bergantung pada arahan navigasi, mereka akan lebih kerap memandang skrin telefon untuk menyemak laluan. Apabila sedang memandu di lebuh raya yang sibuk, ini mewujudkan gangguan yang sangat berbahaya.
Sukar untuk digunakan, tiada Android Auto dan Apple Car Play

Selain arahan navigasi yang mengelirukan dan ketiadaan data trafik masa nyata, Tuju juga berdepan beberapa isu dari segi pengalaman penggunaan. Satu perkara yang diperhatikan, antaramuka versi Android dan iOS kelihatan sangat berbeza, seolah-olah ia dibangunkan oleh dua pasukan yang berasingan.
Semasa ujian, kami juga mendapati tiada sebarang amaran had laju disediakan, sedangkan fungsi ini amat penting untuk memaklumkan pemandu mengenai had laju semasa di jalan yang dilalui.
Satu lagi kekurangan paling ketara adalah ketiadaan sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay. Ini bermakna pemandu yang menggunakan sistem infotainmen moden pada kenderaan tidak boleh memaparkan paparan navigasi Tuju terus ke skrin kereta mereka.
Kami turut berdepan isu audioyang mana apabila menggunakan Tuju pada iPhone yang disambungkan ke Apple CarPlay. Setiap kali aplikasi mengeluarkan arahan navigasi, lagu akan terhenti. Namun, lagu tersebut tidak disambung semula secara automatik selepas arahan selesai. Akibatnya, anda perlu menekan skrin infotainmen berulang kali untuk memainkan semula muzik anda.
Walaupun nampak kecil, masalah ini menambah rasa kecewa terhadap aplikasi ini secara keseluruhan. Dan bukannya memudahkan navigasi, Tuju menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan yang tidak perlu.
Tuju minta kebenaran jejak pelbagai data pengguna

Satu lagi perbezaan antara Tuju dan Waze ialah Tuju memerlukan pengguna log masuk sebelum boleh menggunakan ciri navigasinya.
Pada versi iOS yang kami uji, pengguna ditawarkan pilihan log masuk dengan Google, Apple atau e-mel. Pengguna juga boleh mendaftar akaun baharu menggunakan alamat e-mel mereka.
Sebagai perbandingan, Waze membenarkan pengguna menavigasi tanpa membuat akaun, tetapi anda akan kehilangan lokasi tersimpan dan keupayaan membuat laporan di Waze.
Selepas log masuk, Tuju memaparkan skrin permintaan kebenaran yang memaklumkan pengguna tentang amalan penjejakan data yang dilakukan. Menurut notis tersebut, aplikasi ini menjejak lokasi, pergerakan dan tingkah laku penggunaan, dan data tersebut mungkin dikongsi dengan badan kerajaan Malaysia untuk analisis pengguna jalan raya serta penambahbaikan.
Selain itu, aplikasi ini mungkin turut mengumpul lebih banyak maklumat seperti interaksi produk, data penggunaan, maklumat kredit dan penipuan, nama, maklumat pembayaran, lokasi tepat, nombor telefon, data pengiklanan, alamat fizikal, ID pengguna, lokasi anggaran, alamat e-mel, maklumat hubungan, ID peranti dan maklumat kewangan lain.
Senarai ini agak panjang untuk aplikasi yang sepatutnya hanya membantu anda bergerak dari titik A ke titik B.
Memandangkan aplikasi ini datang daripada LLM, perlu juga diketengahkan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) tidak terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensinya, di bawah Seksyen 3(1) akta tersebut.
Mengapa kerajaan minta rakyat tinggalkan Waze?

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan telah mengeluarkan arahan yang melarang penjawat awam daripada menggunakan Waze semasa menjalankan tugas rasmi.
Menurut Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), keputusan tersebut dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
NACSA menjelaskan bahawa Waze mengumpul pelbagai jenis maklumat termasuk lokasi, pergerakan, perjalanan, dan maklumat peranti pengguna. Tambah agensi itu lagi, terma penggunaan Waze adalah tertakluk di bawah undang-undang Israel, manakala sebarang pertikaian pula berada di bawah bidang kuasa mahkamah di Tel Aviv.
Agensi berkenaan turut menekankan potensi risiko di mana pengumpulan data lokasi dan pergerakan secara berulang kali berupaya mendedahkan corak perjalanan serta aktiviti harian pengguna. Walau bagaimanapun, NACSA menyatakan dalam soalan lazim (FAQ) mereka bahawa tiada bukti Waze pernah menjalankan analisis corak pergerakan sedemikian ke atas penggunanya.
Meskipun larangan ini hanya terpakai kepada penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi, mereka turut digalakkan untuk memadam aplikasi Waze dan beralih kepada alternatif aplikasi tempatan.
Jelas NACSA, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan keselamatan maklumat negara serta kedaulatan data, termasuk menangani potensi pengumpulan data lokasi di luar waktu kerja. Selain Tuju, NACSA turut mengesyorkan aplikasi PINTAZ sebagai satu lagi pilihan aplikasi navigasi tempatan.
Tuju masih jauh untuk gantikan Waze
Walaupun masih banyak perlu diperbaiki, Tuju sebenarnya ada menawarkan beberapa fungsi yang berguna, terutamanya buat pengguna lebuh raya di Malaysia. Ini termasuklah akses kepada maklumat trafik lebuh raya, paparan kamera litar tertutup (CCTV), kadar bayaran tol, maklumat kawasan rehat dan rawat (R&R), serta kemudahan lebuh raya yang lain.
Namun begitu, fungsi tambahan ini masih belum cukup untuk menampung kelemahan utamanya iaitu sistem navigasi yang kurang memuaskan. Jika sesebuah aplikasi navigasi gagal memberikan arahan belokan demi belokan yang jelas dan tepat, ia dikira gagal menjalankan tugas utamanya.
Penilaian daripada pengguna juga tidak begitu memberangsangkan. Semasa ulasan ini ditulis, aplikasi Tuju hanya mendapat rating 2.5 daripada 5 bintang di Google Play Store, dan 2.6 daripada 5 bintang di Apple App Store.
Anda pernah mencuba Tuju? Bagaimana pengalaman anda? Kongsikan di ruang komen di bawah.






