Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian seorang anggota polis diserang lelaki warga asing ketika menjalankan tugas di Kepong, baru-baru ini.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden keganasan itu dan mahu tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, serangan terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan awam merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya amat kesal dan sedih dengan kejadian ini. Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila menyasarkan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut mengingatkan semua pihak termasuk warga asing yang berada di Malaysia supaya menghormati undang-undang negara serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Sebarang rasa tidak puas hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa keselamatan masyarakat dan anggota penguat kuasa merupakan keutamaan, manakala tindakan undang-undang perlu dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan kesembuhan anggota polis terbabit selain menghargai keberanian dan komitmen seluruh warga PDRM dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.


Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan serius sehingga putus pergelangan tangan kanan selepas diserang menggunakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.
Mangsa dilaporkan stabil dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala suspek meninggal dunia selepas ditembak polis ketika bertindak menyerang anggota sekali lagi berhampiran sebuah taman permainan.
Sumber: FB Saifuddin Nasution Ismail







