Sebarang cadangan untuk memperluaskan pelaksanaan tahanan rumah kepada semua banduan yang layak perlu dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mat Sabu kena bincang dengan Saifuddin
Memetik laporan daripada Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurutnya, KDN kini sedang meneliti kemungkinan pelaksanaan tahanan rumah sebagai satu pendekatan baharu dalam sistem hukuman negara.
“Saya rasa dia (Mohamad) kena bincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) kerana saya dimaklumkan isu itu pernah dibincang dalam Kabinet dengan KDN mahu lihat isu tahanan di rumah sebagai pendekatan baharu.
“Saya tak tahu dan tak bertanggungjawab (isu itu). Jadi, mungkin dia (Mohamad) kena maklumkan Saifuddin.
“Saya hanya jaga undang-undang, AG (Peguam Negara) jaga dan beri nasihat pada kerajaan dan Ketua Hakim Negara pula (jaga) mahkamah.
“Kita hanya dalam bahagian undang-undang mengenai isu-isu reformasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi Madani Jabatan Bantuan Guaman Tahun 2026 di Akademi Perundangan Negara, hari ini.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan supaya semua banduan diberikan peluang menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman diteruskan menerusi tahanan rumah.
Beliau berkata, cadangan itu berasaskan mekanisme perundangan yang adil, telus dan terpakai secara sama rata tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang seseorang banduan.
Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membiayai usaha badan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia memperjuangkan cadangan berkenaan.
Sumber: Harian Metro (Nurul Hidayah Bahaudin)






