Datuk ditemukan lemas, cucu masih hilang

25 Mar 2026 • 8:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa memeriksa bot bersama cucunya ditemukan lemas di Sungai Banjar, Mempikit, Keningau pada Rabu.

KENINGAU - Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa memeriksa bot bersama cucunya ditemukan lemas di Sungai Banjar, Mempikit, di sini pada Rabu.

Mayat Fredoline Yariki, 60, ditemukan pada jam 5.21 petang oleh penduduk kampung yang melakukan pencarian manakala cucunya, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua dijalankan seawal jam 6.10 pagi.

Katanya, operasi yang turut dibantu penduduk kampung dan sukarelawan terdiri daripada Team Gallen Star yang menumpukan kawasan Sungai Banjar dan Sungai Merikit.

"Hasil pencarian berjaya menemui mangsa pertama di tengah sungai di sebalik timbunan pokok sawit yang hanyut, iaitu di tengah-tengah dahan sawit dalam keadaan menelentang.

"Jarak lokasi mangsa ditemui iaitu sejauh kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dan cucunya dilaporkan hilang semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, mangsa dibawa naik ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pencarian mangsa kedua diteruskan namun masih belum ditemui. Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 6.37 petang dan akan disambung semula esok," katanya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan lelaki warga emas bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di Sungai Pagalan, berhampiran Taman Bersatu, di sini, pada Selasa.

Kedua-dua mangsa hanya disedari hilang selepas saksi, iaitu anak kepada warga emas tersebut, mendapati mereka tidak berada di sungai berkenaan dan hanya barangan peribadi serta bot ditemui di lokasi.