'Tiada siapa jaga mereka...' - Aqif bantu ibu uruskan pusat jagaan warga emas

25 Mar 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aqif Haikal memeriksa salah seorang warga emas terlantar yang ditempatkan di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Budi Kasih di Bukit Besar, Kuala Terengganu.
image is not available
Aqif Haikal memeriksa salah seorang warga emas terlantar yang ditempatkan di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Budi Kasih di Bukit Besar, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Di saat umat Islam bergegas pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, masih ada insan yang memilih untuk mengetepikan kepentingan diri demi memastikan warga emas di pusat jagaan tidak berasa terasing.

​Bagi Aqif Haikal Imran, 23, tanggungjawab menjaga penghuni di Pusat Jagaan dan Aktiviti Warga Emas Terengganu, Laman Budi Kasih di Bukit Besar di sini adalah lebih utama.

Anak sulung daripada tiga beradik ini tekad membantu ibunya menguruskan pusat tersebut memandangkan kekurangan kakitangan pada musim perayaan.

​"Ramai yang balik kampung, jadi tidak ada orang yang hendak jaga mereka (warga emas). Saya rasa ini tanggungjawab saya untuk membantu.

​"Saya baru setahun bekerja di sini selepas tamat pengajian dalam bidang Elektronik Komunikasi di Politeknik Dungun tahun lepas.

**media[3471794]**

"Sebelum ni saya kerja di kedai membaiki telefon, tetapi kini fokus sepenuhnya membantu ibu," katanya ketika ditemui di pusat jagaan berkenaan pada Rabu.

​Pusat jagaan yang mula beroperasi sejak Oktober 2024 di bawah NGO Persatuan Kasih Budi Warga Emas Terengganu itu kini menempatkan 24 penghuni berusia antara 21 hingga 96 tahun.

​Antara penghuni yang mencuri tumpuan ialah Rahmah (bukan nama sebenar), 60-an yang menyimpan duka mendalam sebagai mangsa keganasan rumah tangga.

​Beliau yang mengalami trauma dan mild dementia (gangguan ingatan) dihantar oleh adik-beradiknya kerana kekangan waktu bekerja, dengan kos jagaan dibiayai menggunakan wang pencennya sendiri.

​Sementara itu, Pengasas pusat tersebut, Zanariah Ghani, 51, berkata matlamat utama penubuhan pusat itu adalah untuk memastikan warga emas, terutama yang terlantar (bed-ridden), mendapat penjagaan rapi dan tidak terabai di rumah.

​"Idea ini tercetus apabila saya melihat ada pesakit warga emas di hospital yang hendak discaj tetapi keluarga tidak tahu hendak letak di mana. Jadi, saya bersama tiga rakan lain menubuhkan pusat ini.

​"Di sini, kami memastikan ubat-ubatan dan makan minum terjaga. Kos operasi mencecah RM30,000 sebulan merangkumi utiliti dan gaji 15 petugas.

"Operasi kami bergantung sepenuhnya kepada yuran waris dan sumbangan orang ramai untuk kelangsungan pusat ini," jelas bekas pembekal barangan hospital itu.

​Suasana lebaran di pusat itu turut diserikan dengan kehadiran aktivis keagamaan, Muhammad Nur Ikram Zaidi, 29.

Pelajar PhD Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu meluangkan masa memberikan motivasi dan ceramah kepada penghuni.

"Aktiviti yang diadakan di sini bergantung juga kepada keadaan penghuni di sini dimana kita tidak memaksa mereka untuk menyertai jika terdapat kekangan.

​"Walaupun hanya tiga daripada 24 penghuni yang pulang beraya bersama keluarga, kami cuba pastikan suasana di sini tetap meriah supaya mereka rasa disayangi dan dihargai," katanya.

​Untuk rekod, pusat jagaan tersebut mampu menampung sehingga 35 pesakit pada satu-satu masa dengan kemudahan penjagaan lengkap termasuk jururawat dan pegawai psikologi bagi memantau kesihatan mental penghuni.