Datuk Karam Singh Walia, Wartawan Veteran dan Tokoh Meme Peribahasa Meninggal Dunia

LocalEntertainment
6 Apr 2026 • 10:43 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Datuk Karam Singh Walia ialah wartawan alam sekitar dan tokoh meme peribahasa serta pantun awal 2000 meninggal dunia pada usia 67 tahun di kediamannya di Klang, Selangor pada jam 3.30 pagi disebabkan oleh kanser hati. Bagi mereka yang membesar di dekad 90an dan awal 2000, Datuk Karam Singh adalah wajah yang cukup dikenali kerana laporan beliau mengenai pencemaran alam sekitar di Buletin Utama TV3.

Yang menjadikan mendiang unik bukanlah topik yang dibawa tetapi gaya penyampaian yang lain daripada lain serta tabiat menutup setiap laporan menggunakan pantun atau peribahasa Bahasa Melayu yang jarang didengari. Dalam sebuah temuramah lebih 10 tahun lalu, mendiang mengatakan koleksi pantun dan peribahasa yang digunakan beliau ditemukan dalam sebuah buku lama yang telah dibuang.

image is not available

Kelibat beliau dengan jaket hitam TV3 dan kaca mata hitam sangat dikenali ramai sehingga dijadikan parodi dalam pelbagai rancangan serta komik jenaka tempatan. Walaupun sudah bersara daripada bidang penyiaran sejak 2014, frasa ikonik mendiang “Ini bukan cerita baru” masih dikenali ramai khususnya dalam golongan Gen X serta Milennial. Di internet pula, templat makro wajah mendiang dengan pantun digunakan di platform media sosial, forum (seperti Cari dan LowYat) dan pelekat dalam aplikasi pemesejan sejak awal 2000an.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada tahun 1959, mendiang pernah bertugas sebagai seorang guru sebelum terjun ke dunia kewartawanan. Dalam kerjaya hampir 20 tahun mendiang memenangi pelbagai anugerah seperti wartawan televisyen alam sekitar terbaik Malaysian Press Institute (MPI) sebanyak empat kali dan Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali.

Sebagai menghormati jasa beliau dan mengingati beliau sebagai tokoh meme Malaysia yang terawal, izinkan saya menamatkan laporan ini dengan satu peribahasa. “Harimau mati meninggalkan belang, Karam Singh Walia mati meninggalkan nama, meme dan generasi yang lebih menghayati peribahasa Melayu”.