Pemergian Karam Singh Beri Kesan Mendalam - Fahmi

LocalEnvironment
6 Apr 2026 • 12:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian wartawan alam sekitar terkenal, Datuk Karam Singh Walia yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Fahmi berkata, pemergian tokoh kewartawanan itu memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada dunia media, malah kepada rakyat negara ini yang mengenali beliau menerusi laporan berita yang informatif dan penuh dedikasi.

“Mana-mana yang mengikuti Buletin TV3, khususnya sekitar era 1990-an hingga 2014, pasti mengenali penampilan beliau yang sinonim dengan pantun di akhir laporan. Satu identiti unik yang kekal dalam ingatan ramai.

“Saya juga antara yang setia mengikuti laporan beliau dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya dalam dunia penyiaran,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, termasuk Editor Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh, serta menegaskan sumbangan besar beliau dalam memperkukuh bidang penyiaran dan laporan alam sekitar di negara ini.

Karam yang berkhidmat sebagai wartawan penyiaran selama 20 tahun sebelum bersara pada 2014 atas faktor kesihatan, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang pada jam 3.30 pagi tadi. - Getaran, 6 April 2026