
VANCOUVER, 19 JUN: Penyerang Jonathan David meledak hatrik ketika Kanada membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia awal pagi tadi.
Kemenangan besar itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata penting buat tuan rumah bersama berkenaan, malah meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan mengatasi Switzerland menerusi kelebihan perbezaan jaringan.
Kanada memulakan pesta gol menerusi Cyle Larin yang pantas menyambar bola muntah sebelum David menggandakan kelebihan hasil voli menarik.
Penyerang Lille itu kemudian menambah jaringan kedua peribadinya dari jarak dekat untuk memberikan kelebihan selesa kepada pasukannya sebelum tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Nathan Saliba, yang masuk menggantikan Ismael Kone, mencatat nama sebagai penjaring menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol Qatar.
Malang terus menimpa Qatar apabila Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri, sekali gus menghadiahkan gol kelima kepada Kanada.
David melengkapkan persembahan cemerlangnya dengan gol ketiga peribadi pada masa kecederaan menerusi rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit dicemari kecederaan yang menimpa Kone selepas diterjah pemain Qatar, Assim Madibo, pada awal separuh masa kedua.
Insiden tersebut menyaksikan Madibo dilayangkan kad merah, menyebabkan Qatar terpaksa beraksi dengan sembilan pemain sehingga tamat perlawanan.
Qatar terlebih dahulu kehilangan seorang pemain apabila Homam Ahmed dibuang padang pada minit ke-34 kerana mengasari Tajon Buchanan.
Pengadil pada mulanya menghadiahkan sepakan penalti kepada Kanada, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati kekasaran berlaku di luar kawasan penalti. Walau bagaimanapun, kad merah terhadap Ahmed dikekalkan.
Keputusan itu menyaksikan Kanada mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, sama seperti Switzerland, namun mendahului Kumpulan B berdasarkan perbezaan jaringan.
Kanada akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Switzerland di Vancouver pada 25 Jun ini, manakala Qatar dijadual berdepan Bosnia dan Herzegovina di Seattle.

