
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuang sampah secara sembarangan di sepanjang jalan menuju ke pusat komersial di Manggatal.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata dalam kes serius, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.
KAKITANGAN UCD membersihkan sampah yang bertaburan berhampiran pembahagi jalan di Bandar Sierra Boulevard 1.“Ini adalah denda maksimum yang boleh dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Antisampah 1984 (Pindaan 2025) jika didapati bersalah di mahkamah.
“Sebagai alternatif, majistret boleh mengenakan hukuman penjara sehingga dua tahun terhadap pesalah,” katanya.
Dalam kes paling serius katanya pesalah boleh dikenakan kedua-dua hukuman denda dan penjara.
“Individu yang ditangkap ketika sedang melakukan kesalahan akan terlebih dahulu dikenakan kompaun sehingga RM5,000.
“Pesalah berulang dan mereka yang berdegil berdepan kemungkinan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap aduan mengenai sampah yang dibuang di pembahagi jalan dan bahu jalan berhampiran Grand Merdeka Mall.
Seorang pemandu dari Manggatal sebelum ini mengadu mengenai sampah yang ditinggalkan di sepanjang sebahagian Jalan Bandar Sierra Boulevard 1 oleh pengunjung pasar malam di kawasan pusat beli-belah berkenaan.
Individu terbabit memberikan maklumat berkaitan kepada Hotline sebelum ia disalurkan kepada pihak DBKK untuk tindakan lanjut.
Jurucakap berkenaan berkata kakitangan UCD mengesahkan terdapat sampah bertaburan di pembahagi jalan dan beberapa bahagian laluan berkenaan ketika pemeriksaan dibuat pada hari sama pihak jabatan berkenaan dihubungi media.
“Empat anggota daripada Unit Kebersihan Am kami membersihkan sampah di bahagian jalan berkenaan,” tambahnya.
Beliau berkata Unit Penguatkuasaan jabatan itu kemudian menjalankan pemantauan di Bandar Sierra Boulevard 1.
“Seramai 13 anggota unit berkenaan menjalankan empat pemeriksaan berasingan dalam tempoh seminggu pada penghujung September,” katanya.
Menurutnya sejumlah RM140 kompaun dikutip daripada tujuh individu yang membuang sampah dalam operasi berkenaan.
“Kami menyedari bahawa sesetengah pengunjung pasar malam mempunyai tabiat duduk di dalam kenderaan untuk menikmati makanan dan minuman yang dibeli dari gerai.
“Ada juga yang duduk bersandar pada kotak tanaman di sebelah pusat beli-belah untuk berbuat demikian.
“Walau apa pun keadaannya, individu terbabit sepatutnya membuang sampah secara bertanggungjawab ke dalam tong sampah dan tidak meninggalkan kawasan awam dalam keadaan bersepah.
“Jika mereka gagal menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab dalam soal membuang sampah dan dilihat melakukan kesalahan itu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” tegasnya.
Beliau berkata kakitangan UCD akan terus memantau keadaan di sekitar jalan dan pusat beli-belah berkenaan dari semasa ke semasa.
Jurucakap itu berkata DBKK terus memperhebat tindakan terhadap kesalahan membuang sampah bagi menggalakkan orang ramai memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kawasan pentadbirannya sentiasa bersih.
“Bukan hanya menjadi tanggungjawab pengutip sampah dan penyapu jalan untuk memastikan premis komersial di kawasan pentadbiran kami sentiasa kelihatan kemas dan menyenangkan khususnya kepada ramai pengunjung dari luar negara yang pertama kali datang.
“Ia adalah tanggungjawab bersama semua yang tinggal, bekerja dan berkunjung ke kawasan ini,” katanya.



![[VIDEO] Selamba buang sampah, kayu ke sungai di MRR2](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/IMG_2722-1024x548.jpeg)

