
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk di salah satu kawasan perumahan di Likas susulan peningkatan jumlah kenderaan berat menggunakan jalan menuju ke kawasan kediaman mereka.
Selain itu DBKK turut meminta syarikat konsesi kerajaan meningkatkan usaha penyelenggaraan jalan di sebuah lagi kawasan kejiranan di Likas.
KAKITANGAN DBKK membuat pemeriksaan semula terhadap kerja pembaikan di Lorong Burung Kenari 5.Perkembangan itu susulan aduan seorang pemilik rumah di Signal Hill Park dan seorang lagi penduduk Taman Likas Jaya berhubung keadaan jalan yang rosak di kawasan masing-masing.
Penduduk Signal Hill Park mengadu mengenai permukaan mendap dan ketidaksempurnaan struktur lain di Jalan Signal Hill Park.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pergerakan berterusan treler dan lori, sambil mendakwa debu yang berterbangan akibat kenderaan berkenaan menjejaskan kesihatan ramai penduduk di kawasan perumahan itu.
Bunyi enjin kenderaan berat berkenaan juga mengganggu waktu tidur beliau dan jiran-jirannya pada waktu malam.
Sementara itu penduduk Taman Likas Jaya tidak berpuas hati dengan keadaan permukaan jalan yang tidak rata di Lorong Burung Kenari 5, apabila lapisan asfalt didapati telah terhakis.
Kedua-dua pengadu menyalurkan maklumat berkaitan aduan mereka kepada ruangan Hotline yang kemudiannya memanjangkan perkara itu kepada DBKK.
Jurucakap Jabatan Trafik dan Pengangkutan (TTD) DBKK berkata pemeriksaan di Jalan Signal Hill Park dilakukan pada hari yang sama pihaknya dihubungi media.
“Anggota kumpulan RPG (Road Patching Gang) kami mengesahkan bahawa kepulan debu dan permukaan jalan yang rosak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.
TRELER dan kenderaan berat lain menerbangkan kepulan debu di Jalan Signal Hill Park menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan Likas itu.“Kami akan terus memantau keadaan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata DBKK bersimpati dengan rasa kecewa yang diluahkan oleh pembayar cukai yang tinggal di sepanjang laluan berkenaan.
Sehubungan itu katanya pegawai TTD dan rakan sejawat mereka dari JKR sedang berbincang bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk Signal Hill Park sambil memastikan kelancaran aliran trafik ke kawasan utara Kota Kinabalu.
Menurut jurucakap itu antara aspek yang dibincangkan ialah pengurusan laluan kenderaan berat, keadaan dan kapasiti jalan yang terlibat serta keselamatan pengguna jalan raya termasuk kemungkinan menggunakan laluan alternatif.
“Kami sedang berusaha mencari kaedah jangka pendek dan jangka panjang yang lebih berkesan untuk menyelesaikan isu berkaitan laluan di Jalan Tun Fuad Stephens,” ujarnya.
Beliau menjelaskan Jalan Signal Hill Park dibuka sementara sebagai laluan alternatif untuk kenderaan berat tertentu oleh JKR susulan kerosakan struktur pada jambatan konkrit di Kilometer 2.850, Jalan Tun Fuad Stephens.
“Kerusakan itu dianggap begitu serius sehingga sebuah Jambatan Bailey dipasang buat sementara waktu.
“Jambatan Bailey itu mempunyai had berat tidak melebihi lima tan dan had ketinggian tidak melebihi 2.5 meter.
“Berikutan itu treler, kontena, bas pelancong dan kenderaan berat lain yang tidak mematuhi sekatan berkenaan dilarang menggunakan Jambatan Bailey,” jelasnya.
Beliau berkata satu laluan alternatif disediakan bagi menampung pergerakan kenderaan berkenaan.
“Kenderaan berat yang menuju ke kawasan Kingfisher, Sepanggar dan Indah Permai serta Taman Perindustrian Kota Kinabalu perlu menggunakan laluan Jalan Signal Hill Park – Jalan Bukit Bendera Upper – Jalan Istiadat – Jalan Tun Fuad Stephens,” tambahnya.
Jurucakap itu menegaskan bahawa laluan baharu berkenaan bukan bertujuan mengubah pengurusan trafik bagi pemandu yang tinggal di kawasan kejiranan sepanjang Jalan Signal Hill.
Ketika ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan Jalan Signal Hill Park, beliau berkata syarikat konsesi kerajaan menjalankan penyelenggaraan jalan di bawah seliaan DBKK secara berkala.
“Peningkatan mendadak jumlah kenderaan berat menyebabkan kerosakan Jalan Signal Hill Park berlaku lebih cepat daripada biasa.
“Jalan itu tidak direka untuk menampung jumlah kenderaan berat yang begitu tinggi secara berterusan,” katanya.
Mengenai Lorong Burung Kenari 5, jurucakap itu berkata syarikat konsesi berkenaan menjalankan kerja pembaikan jalan itu awal bulan ini.
Menurutnya bahan premix diturap pada beberapa bahagian sepanjang laluan 273 meter itu dengan enam pekerja syarikat menggunakan pencakar untuk meratakannya di seluruh permukaan jalan.
“Beberapa jentera kemudian digunakan untuk memadatkan dan mengemaskan lapisan premix pada bahagian yang terjejas,” maklumnya.
Beliau berkata anggota TTD membuat pemeriksaan semula terhadap kerja pembaikan itu beberapa hari kemudian dan mendapati keadaan jalan berada dalam keadaan baik.




