
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memantau keadaan di sebuah kawasan perumahan di Karamunsing dan beberapa kawasan di Inanam bagi memastikan kawasan terbabit mempunyai pencahayaan mencukupi pada waktu malam.
Pada masa sama DBKK sedang dalam proses memasang lampu jalan di beberapa laluan di Tanjung Aru.
JURUTEKNIK DBKK menggantikan kabel lampu jalan yang rosak di Lorong Seri Warisan 1.Tindakan itu susulan aduan mengenai beberapa kawasan yang gelap termasuk di Jalan Sang Kancil 1, Jalan Udan, Lorong Seri Warisan 1 dan Lorong Rumah Pangsa 1.
Tiga pemandu dan seorang pemilik rumah sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap risiko keselamatan akibat keadaan jalan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi.
Mereka secara berasingan menyalurkan maklumat berkaitan masalah berkenaan kepada ruangan Hotline sebelum aduan itu dikemukakan kepada DBKK.
Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata gangguan teknikal menjadi punca sebahagian lampu jalan di kawasan Karamunsing dan Inanam tidak berfungsi.
Menurutnya pemeriksaan mendapati bekalan elektrik bagi kemudahan lampu di Jalan Sang Kancil 1, Lorong Seri Warisan 1 dan Jalan Udan serta jalan utama di hadapan bangunan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd di Inanam, mengalami gangguan akibat sistem bekalan terpelantik (tripped).
“Kontraktor elektrik kami menetapkan semula pemutus litar kecil (MCB) di dalam panel kawalan lampu di ketiga-tiga jalan terbabit bagi memulihkan pencahayaan di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa MCB berfungsi mencegah bahaya elektrik dengan mengesan dan memutuskan aliran arus tidak normal serta litar pintas.
“Pasukan kontraktor turut menangani kerosakan pada kelengkapan lampu di Jalan Sang Kancil 1 dan Lorong Seri Warisan 1,” ujarnya.
PEMERIKSAAN dijalankan di beberapa jalan di Tanjung Aru bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk pemasangan lampu jalan baharu.Menurutnya juruteknik menggantikan dua mentol jenis natrium tekanan tinggi (high-pressure sodium) di Jalan Sang Kancil 1 dan satu mentol di Lorong Seri Warisan 1.
Beliau berkata sebuah Sky Master turut digunakan bagi memudahkan kerja-kerja membaik pulih lampu berkenaan.
Mengenai bahagian Jalan Tuaran yang terjejas berhampiran premis F&N, jurucakap itu berkata DBKK bekerjasama dengan Sabah Electricity bagi menyelesaikan masalah yang menyebabkan lampu tidak berfungsi.
“Bahagian Karamunsing dan Inanam yang terjejas turut dipantau untuk satu tempoh selepas itu bagi memastikan pencahayaan kekal stabil,” jelasnya.
Menurutnya pekerja kontraktor mendapati kabel talian atas sepanjang 40 meter di kawasan Seri Warisan terputus kepada dua bahagian ketika salah satu pemeriksaan dijalankan.
“Kabel aluminium dua teras baharu kemudiannya dipasang di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata semakan rekod DBKK mendapati lampu di Lorong Seri Warisan dan Jalan Sang Kancil 1 mengalami kerosakan beberapa kali sepanjang tahun ini.
“Susulan itu kami meminta kontraktor membuat pemeriksaan secara berkala terhadap kemudahan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya setiap kali berlaku kerosakan,” tambahnya.
Menurutnya terdapat kira-kira 15 lampu di sepanjang Jalan Sang Kancil 1 yang berukuran 537.7 meter.
Ketika ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan lampu di kawasan pentadbiran DBKK, beliau berkata kerja berkenaan tidak mempunyai jadual tetap.
“Penyelenggaraan kemudahan ini dilakukan apabila diperlukan,” jelasnya.
Mengenai Jalan Rumah Pangsa 1 di Tanjung Aru, jurucakap itu berkata kakitangan Jabatan Kejuruteraan baru-baru ini menjalankan pemeriksaan di jalan berkenaan dan beberapa laluan berhampiran bagi mengenal pasti lokasi berpotensi untuk pemasangan lampu baharu.
“Pemeriksaan itu dilakukan bersama kontraktor yang dilantik untuk menambah baik pencahayaan awam di kawasan bandar ini.
“Kontraktor berkenaan mengambil alih tapak pada 20 Julai dan diberikan tempoh dua bulan untuk menyiapkan kerja yang melibatkan pemasangan keseluruhan 37 lampu di enam laluan,” maklumnya.
Menurutnya jalan yang terlibat ialah Jalan Rumah Pangsa 1, Jalan Rumah Pangsa 2, Jalan Murni, Jalan Ralph Hone, Jalan Murai dan Jalan Pavitt Place.
Sebanyak 22 lampu baharu jenis lengan tunggal akan dipasang, manakala kerja pengubahsuaian (retrofit) lampu jenis sama akan dilakukan terhadap 10 tiang lengan tunggal dan lima tiang berlampu.
Beliau berkata usaha penambahbaikan itu dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).



![[VIDEO] Dari kopi O bertukar jadi Americano air di Kelantan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-08-at-14.45.16-1024x668.jpeg)
