
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mempergiat usaha memangkas pokok di kawasan kejiranan Likas selain mengingatkan pembayar cukai di sebuah kawasan di Inanam supaya tidak mengabaikan penjagaan tanaman yang ditanam atau diletakkan di kawasan rizab parit.
Tindakan itu susulan aduan mengenai tanaman dan tumbuhan yang terlalu rimbun di kawasan umum Taman Likas Jaya dan Ujana Kingfisher.
KAKITANGAN Jabatan Landskap menyerahkan notis secara peribadi kepada seorang pemilik rumah di Ujana Kingfisher.Seorang pemilik rumah di Taman Likas Jaya membangkitkan masalah rimbunan pokok di Lorong Burung Kenari 5B yang didakwanya menghalang pancaran cahaya beberapa lampu jalan di sepanjang laluan berkenaan.
Sementara itu seorang penduduk Ujana Kingfisher mengadu mengenai keadaan tidak teratur di kawasan rizab parit di belakang rumahnya.
Menurutnya beberapa jiran menanam pokok renek seperti pandan di kawasan berkenaan tetapi gagal menjaganya sehingga menyebabkan persekitaran kelihatan tidak terurus.
Selain itu terdapat juga pasu bunga diletakkan di beberapa bahagian kawasan awam berkenaan.
Beliau berpendapat objek berkenaan berpotensi menghalang pergerakan penduduk yang menggunakan kawasan rizab parit itu sebagai laluan untuk menyelamatkan diri ketika kecemasan.
Kedua-dua penduduk berkenaan menyalurkan maklumat dan aduan masing-masing kepada Hotline sebelum perkara itu dikemukakan kepada DBKK untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata pemeriksaan di kawasan rizab parit di belakang rumah penduduk di Lorong Ujana 5 dan Lorong Ujana 6 mendapati kebimbangan yang dibangkitkan itu berasas.
Beliau memberi amaran bahawa penduduk di kawasan Ujana Kingfisher berisiko kehilangan kemudahan untuk mencantikkan kawasan lapang di luar bahagian belakang rumah masing-masing sekiranya gagal menjaga tanaman yang diletakkan di situ.
“Notis mengenai perkara itu telah dimasukkan ke dalam peti surat atau diserahkan secara peribadi kepada penghuni 50 rumah di kawasan berkenaan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan oleh tiga kakitangan agensi berkenaan.
Jurucakap itu memuji inisiatif penduduk yang berusaha mencantikkan kawasan umum di persekitaran kejiranan mereka.
Bagaimanapun katanya pembayar cukai yang mengambil inisiatif berkenaan turut bertanggungjawab memastikan tanaman masing-masing sentiasa dijaga dengan baik.
POKOK pandan yang terlalu rimbun dan pasu bunga yang diletakkan tidak teratur di kawasan rizab parit belakang rumah antara Lorong Ujana 5 dan Lorong Ujana 6.“Mereka perlu menjaga tanaman dan pokok masing-masing termasuk memangkasnya, membersihkan daun serta ranting yang gugur atau mati, selain memastikan tanaman tidak berpenyakit atau kelihatan tidak terurus.
“Dengan cara ini, tanaman mereka tidak akan menjadi gangguan atau mendatangkan bahaya kepada orang awam,” ujarnya.
Beliau berkata nasihat itu turut terpakai kepada penduduk yang meletakkan pasu bunga di kawasan rizab parit di belakang atau hadapan rumah.
“Bagi kawasan bahu jalan dan laluan kaki lima, pembayar cukai perlu menggunakan tanaman pasu yang bersesuaian. Ini bermaksud tanaman yang tidak berduri serta tidak menghalang pandangan pemandu.
“Selain itu tanaman yang diletakkan tidak sepatutnya menghalang laluan atau membahayakan pejalan kaki,” tambahnya.
Jurucakap itu memberi amaran bahawa pemilik tanaman yang gagal mematuhi syarat DBKK boleh diarahkan mengalihkan pasu bunga atau tanaman mereka.
“Pada peringkat awal mereka akan diberikan teguran secara baik supaya menjaga tanaman masing-masing dalam tempoh kelonggaran yang ditetapkan.
“Sekiranya masih gagal mematuhi arahan, notis akan dikeluarkan supaya mereka mencabut dan mengalihkan tanaman berkenaan.
“Mereka akan dianggap menceroboh tanah kerajaan dan oleh itu diminta mengalihkan tanaman masing-masing dari kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata tanah kerajaan termasuk kawasan rizab parit, bahu jalan dan dalam sesetengah keadaan, kawasan taman permainan.
“Tindakan lanjut akan diambil terhadap mereka sekiranya mengabaikan notis yang dikeluarkan,” ujarnya.
Mengenai Taman Likas Jaya, jurucakap itu berkata kakitangan Jabatan Landskap mengesahkan bahawa dahan beberapa pokok di sepanjang Lorong Burung Kenari 5B telah menutupi sebahagian besar lampu jalan di kawasan berkenaan.
Susulan itu katanya satu pasukan bersama Unit Pokok jabatan berkenaan menjalankan kerja pemangkasan pokok di sepanjang laluan sejauh 212.5 meter.
“Seramai tujuh pekerja kami, sebahagiannya menggunakan gergaji rantai, memangkas dahan pokok yang menjulur ke ruang udara lampu jalan di sepanjang laluan berkenaan.
“Sebanyak sebuah skylift dan sebuah lori tipper turut digunakan bagi melancarkan kerja-kerja berkenaan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kekerapan kerja pemangkasan pokok di kawasan itu beliau berkata penyelenggaraan dilakukan secara berkala mengikut keperluan.
Bagaimanapun katanya bagi memastikan lampu jalan sentiasa berfungsi dan berada dalam keadaan baik, kakitangan DBKK diminta memantau keadaan tanaman di kawasan berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang masalah.






