Juruterbang wanita menjerit sebelum jet terhempas korbankan sembilan orang

2 Nov 2026 • 10:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Juruterbang wanita menjerit sebelum jet terhempas korbankan sembilan orang

WASHINGTON: Sembilan orang terbunuh apabila pesawat Learjet yang mereka naiki terhempas di kawasan kejiranan di selatan Florida pada Ahad, hanya beberapa kilometer dari kediaman percutian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Mar-a-Lago, menurut pegawai.

Beberapa rakaman video yang belum disahkan dan dimuat naik ke media sosial menunjukkan pesawat itu menjunam hampir menegak pada kelajuan tinggi sebelum menghempas bumi dan mencetuskan letupan api besar, meninggalkan kawah terbakar berhampiran jalan raya yang sibuk.

“Insiden nahas pesawat di daerah Palm Beach, Florida hari ini merupakan satu tragedi yang amat dahsyat,” kata Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy dalam satu kenyataan dan mengesahkan kesemua sembilan penumpang dan kru di dalam pesawat itu terbunuh.

Duffy berkata, pesawat jenis Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas dan dalam perjalanan ke Bahamas.

Nahas berlaku berhampiran kawasan Cresthaven di daerah Palm Beach, kira-kira 11 kilometer dari Mar-a-Lago.

Trump sendiri berada di Mar-a-Lago pada Ahad sebelum berlepas dari lapangan terbang berhampiran.

Lapangan terbang itu baharu dinamakan semula sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Donald J Trump, sejurus beliau  menaiki pesawat Air Force One pada pukul 11.55 pagi waktu tempatan, kira-kira sejam sebelum nahas Learjet itu berlaku.

Ribut dilaporkan melanda kawasan berkenaan, manakala Trump dilihat membawa payung ketika menaiki Air Force One.

Sementara itu, rakaman komunikasi kawalan trafik udara mendedahkan juruterbang wanita pesawat itu sempat menyampaikan maklumat penting kepada petugas menara kawalan.

Ia berlaku hanya beberapa saat sebelum pesawat berkenaan menjunam ribuan meter dalam tempoh seminit.

Petugas kawalan trafik udara pada awalnya menyifatkan keadaan sebagai ‘gelora udara sederhana’ sebelum nada suara juruterbang itu berubah menjadi panik apabila menyedari sesuatu tidak kena dengan pesawat berkenaan.

Juruterbang wanita itu kedengaran berkata: “Seven Two Two Bravo Delta, kami sedang menjunam pada ketinggian 2,438 meter, mayday, mayday. Kami sedang menjunam pada kadar 3,048 meter seminit.

Beberapa saat kemudian, dia menjerit: “Mengisytiharkan kecemasan, mengisytiharkan kecemasan, pesawat kami mengalami keadaan kelajuan melebihi had.”

Suaranya kemudian semakin cemas sebelum menjerit: “Menjunam pada kadar 6,096 meter seminit. Kami akan terhempas ke bumi.”

“Saya bersama anda, bercakaplah dengan saya,” kata petugas kawalan trafik udara itu dalam usaha menenangkan keadaan.

Juruterbang wanita itu kemudian berkata: “Kita sudah kehabisan masa.”

Siasatan nahas itu akan dilakukan oleh  Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB). AFP/AGENSI

 

The post Juruterbang wanita menjerit sebelum jet terhempas korbankan sembilan orang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved