
Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengingatkan orang ramai bahawa terdapat 30 basikal tersedia untuk kegunaan percuma hujung minggu, di foyer bangunan ibu pejabatnya di Jalan Gaya, melalui Program Love KK Bike: Rides Made Better.
Mayor Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, helmet basikal juga disediakan dalam program yang dilancarkan pada 10 Mac lalu.
“Dengan mengimbas kod QR yang disediakan, orang ramai boleh menikmati kemudahan ini dengan membuat pendaftaran secara dalam talian. Aktiviti ini bermula jam 3 petang hingga 7 malam setiap hari Sabtu dan Ahad.
“DBKK juga menawarkan peminjaman basikal untuk tempoh jangka masa panjang sekurang-kurangnya setahun kepada premis atau mana-mana organisasi seperti hotel, masjid, jabatan kerajaan dan agensi lain,” katanya.
Noorliza berkata, antara objektif program ini diadakan adalah untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan basikal sebagai salah satu pengangkutan alternatif yang mesra alam dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, selain menggalakkan masyarakat Kota Kinabalu untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Untuk keterangan lanjut, orang awam boleh menghubungi talian telefon bimbit 012-3484761 atau kunjungi laman web rasmi DBKK: dbkk.sabah.gov.my.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

