DBKK selenggara lebih 3,000 pokok sejak awal tahun

LocalEnvironment
28 Jul 2026 • 4:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK selenggara lebih 3,000 pokok sejak awal tahun

LEBIH 3,000 pokok milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah diselenggara sejak awal tahun ini menerusi kerja penyelenggaraan berkala di beberapa kawasan dalam kawasan pentadbirannya.

Jurucakap DBKK berkata kakitangan Jabatan Landskap telah menjalankan 32 pemeriksaan berasingan di 28 jalan utama sekitar ibu negeri bagi tujuan itu antara 9 Januari hingga 21 Julai lalu.

“Unit Pengurusan Pokok (TMU) kini sedang menjalankan kerja pemangkasan pokok di pembahagi jalan di Jalan Tuaran, melibatkan kawasan antara Inanam dan Manggatal,” katanya.

SEBUAH skylift digunakan bagi membantu operasi TMU menangani pokok yang terlalu rimbun di Jalan Tun Razak.Selain Jalan Tuaran, kerja penyelenggaraan turut dilaksanakan di Jalan KK Bypass, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Fuad Stephens, Jalan Gaya, Taman Bandar, medan selera Anjung Senja, Jalan Damai, Jalan Lintas, Jalan Lintas Square, Jalan Access Bomba Negeri, Jalan Pintas Penampang, Kepayan-Petagas, Tugu Petagas, Jalan Tuaran Bypass, Jalan Udan, Terminal Bas Inanam, Lorong Indah Permai B, Taman Melawa Fasa 1 dan Taman Melawa Jaya.

Menurutnya empat pasukan berasingan daripada TMU yang masing-masing dianggotai lapan kakitangan menggunakan gergaji berantai bagi memangkas dahan pokok yang terlalu rimbun di kawasan terbabit.

“Dalam beberapa keadaan pasukan turut membuang tumbuhan menjalar serta tunas liar yang tumbuh pada pokok sedia ada bagi memastikan pokok kekal sihat dan kawasan sekitar lebih selamat.

“Bagi melaksanakan kerja-kerja ini, sebuah lori lapan tan dan dalam kebanyakan keadaan, sebuah skylift digunakan bagi memudahkan operasi,” katanya.

Antara spesies pokok yang diselenggara oleh unit berkenaan ialah pokok Angsana (Pterocarpus indicus), Semarak Api (Delonix regia), Kubis (Andira inermis), Tanjung (Mimusops elengi), Kayu Manis (Cinnamomum iners), Ketapang (Terminalia catappa), Pong-Pong (Cerbera odollam), Mahogani (Swietenia macrophylla) dan Kelapa (Cocos nucifera).

Jurucakap itu berkata sepanjang tujuh bulan lalu TMU turut menebang 63 pokok berbahaya, termasuk pokok yang mati atau berpenyakit, menerusi Ops Pokok Sihat, Bandar Selamat yang dilaksanakan DBKK.

“Operasi ini bertujuan melindungi orang awam daripada potensi bahaya akibat pokok tumbang atau dahan patah,” ujarnya.

Beliau berkata anggota TMU menetapkan sasaran pada tahun ini untuk memastikan semua pokok yang diselenggara oleh DBKK berada dalam keadaan selamat dan sihat.

“Kakitangan TMU akan memantau tahap kesihatan pokok-pokok ini secara berkala dan menjalankan kerja pemangkasan mengikut jadual bagi mengurangkan risiko keselamatan yang mungkin berpunca daripada pokok-pokok tersebut,” tambahnya.

Beliau berkata mana-mana pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan ditebang manakala pokok yang berisiko rendah hanya akan dipangkas.

“Yang dimaksudkan dengan berisiko tinggi ialah pokok yang telah mati atau dijangkiti penyakit,” jelasnya.

Jurucakap itu memaklumkan kakitangan Jabatan Landskap turut diingatkan supaya lebih peka terhadap keadaan pokok dan landskap di sepanjang jalan di bawah seliaan DBKK.

KERJA penyelenggaraan kini dijalankan terhadap pokok-pokok di pembahagi jalan Jalan Tuaran.Ujarnya langkah itu dapat membantu mengelakkan orang awam daripada mengalami kesulitan akibat masalah pokok atau rumput di kawasan rizab jalan dalam kawasan pentadbiran DBKK.

“Pokok yang berada di bawah seliaan DBKK akan dipangkas mengikut keperluan, manakala rumput di bahu jalan dipotong setiap bulan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik rumah yang menanam pokok dan tanaman hiasan di kawasan kediaman masing-masing supaya melakukan penyelenggaraan secara berkala.

“Mereka perlu menjaga pokok dan tanaman dengan memangkas dahan yang terlalu rimbun, terutama yang menjulur melepasi pagar rumah, serta memastikan pokok tidak dijangkiti penyakit atau mencacatkan pemandangan.

“Dengan cara itu pokok dan tanaman mereka tidak akan menjadi gangguan atau membahayakan orang awam,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan lanjut boleh diambil terhadap mana-mana pembayar cukai taksiran yang gagal mematuhi nasihat tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved