DBKK tingkat penyelenggaraan longkang, pantau premis kedai demi keselamatan awam

12 Jun 2026 • 3:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK tingkat penyelenggaraan longkang,  pantau premis kedai demi keselamatan awam

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mempergiat usaha penyelenggaraan longkang bertutup di bawah bidang kuasanya serta memantau keadaan di sebuah kedai serbaneka di salah satu kawasan ibu negeri bagi memastikan pemilik premis menjaga keselamatan dan kebajikan pelanggan.

Tindakan itu diambil susulan kebimbangan mengenai risiko keselamatan akibat kewujudan “lubang” pada laluan pejalan kaki yang dibina di atas longkang di belakang Blok B bangunan kedai Segama selain bahagian lantai yang terangkat di sebuah kedai di Api-Api Centre.

Seorang pekerja pejabat di Kota Kinabalu menyuarakan kebimbangan mengenai kerosakan pada laluan berbumbung (kaki lima) di Jalan Padas dan berharap tiada pejalan kaki cedera akibat terpijak bahagian laluan yang rosak itu.

Sementara itu seorang penduduk Papar mengeluh mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh bahagian lantai yang terangkat di salah satu lorong dalam sebuah kedai di Lorong Api-Api 1 selepas beliau tersadung dan terjatuh di dalam premis tersebut.

Menurutnya seorang wanita hamil juga sebelum ini dilaporkan terjatuh apabila beliau memaklumkan mengenai bahaya itu kepada pekerja kedai berkenaan.

Kedua-dua individu terbabit kemudian menyalurkan lokasi kawasan berbahaya tersebut kepada Hotline sebelum maklumat itu dipanjangkan kepada DBKK untuk tindakan lanjut.

Jurucakap DBKK berkata kakitangan Jabatan Kejuruteraan mengesahkan sebahagian konkrit laluan pejalan kaki di kawasan Segama telah runtuh hasil pemeriksaan yang dilakukan sejurus selepas pihak berkuasa tempatan itu dihubungi media.

“Lubang itu segera ditutup menggunakan sekeping papan lapis.

“Pita keselamatan turut dipasang pada penutup sementara tersebut sebagai amaran kepada pejalan kaki supaya tidak memijak bahagian laluan yang rosak itu,” katanya.

Beliau berkata dua juruteknik agensi itu kembali ke lokasi berkenaan lebih sebulan kemudian untuk membina semula bahagian kaki lima yang terjejas.

Ketika ditanya mengenai kelewatan menangani masalah itu, beliau menjelaskan pasukan yang bertanggungjawab mengendalikan kerosakan seumpama itu sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di lokasi lain dalam kawasan pentadbiran DBKK.

Menurutnya kerja penyelenggaraan ke atas laluan pejalan kaki, termasuk jeriji besi dan penutup konkrit di atas longkang di sekitar bandar dilaksanakan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Kerja-kerja ini dilaksanakan apabila perlu.

“Sehubungan itu kakitangan kami telah diminta menjalankan pemeriksaan berkala di kawasan umum sekitar deretan kedai di Segama bagi memastikan laluan pejalan kaki berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Bagi kes kedai serbaneka di kawasan Api-Api pula jurucakap Jabatan Kawalan Bangunan agensi berkenaan berkata pemilik premis telah mengambil langkah awal dengan memberi amaran kepada pelanggan mengenai bahagian lantai yang terangkat di dalam premisnya.

Beliau berkata pemeriksaan telah dijalankan ke atas kedai berkenaan beberapa hari selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Turut hadir semasa pemeriksaan tersebut ialah wakil syarikat pengurusan (MC) pusat komersial tempat kedai serbaneka itu beroperasi.

“Pegawai kami mendapati terdapat satu kepingan konkrit berbentuk segi empat yang terbonjol naik dari lantai di antara beberapa rak.

“Kepingan itu boleh mencapai paras betis dan hanya terdapat ruang yang sangat terhad untuk orang ramai berjalan mengelilinginya,” jelasnya.

Lebih membimbangkan katanya struktur tersebut mudah terlepas pandang oleh pelanggan baharu kerana lantai dan kepingan berkenaan menggunakan jubin gelap yang sama.

“Kami difahamkan bahawa penyewa terdahulu merupakan seorang penukar wang yang telah membina bahagian ketinggian itu untuk menyimpan peti besinya.

Kakitangan MC memaklumkan kepada pegawai kami bahawa penyewa baharu telah berpindah masuk tanpa melakukan kerja pengubahsuaian di premis tersebut.

“Penyewa baharu dikatakan enggan menanggalkan kepingan konkrit itu kerana bimbang jumlah habuk yang akan terhasil jika kerja tersebut dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata kakitangan agensi telah berbincang dengan seorang pekerja yang ditemui ketika itu berhubung perkembangan tersebut.

“Individu berkenaan diminta berbincang dengan majikannya supaya pita keselamatan dipasang di sekeliling bahagian kepingan tersebut. Pekerja kedai itu bersetuju untuk berbuat demikian.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu pelanggan melihat dengan lebih jelas halangan yang berada di laluan mereka,” maklumnya.

Jurucakap itu berkata satu pemeriksaan susulan telah dijalankan lebih dua minggu kemudian.

“Semasa pemeriksaan itu, kami mendapati pita merah berbentuk huruf ‘X’ telah dipasang pada permukaan struktur tersebut bagi memberi amaran kepada pelanggan supaya melangkah atau mengelak daripada kawasan berkenaan,” katanya.