
KUALA LUMPUR, 12 NOV: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi sebagai kampung tradisi di Sungai Penchala di sini, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.
DBKL memaklumkan kajian menerusi Pelan Kawalan Mikro (PKM) itu bertujuan memelihara identiti dan warisan perkampungan Melayu di ibu negara dengan menilai ciri-ciri perkampungan, pembangunan sedia ada, keupayaan infrastruktur serta kepentingan pemilik tanah dan penduduk setempat.
“Kajian turut mengambil kira kawasan yang telah dibangunkan, pembangunan yang telah memperoleh kelulusan serta tekanan pembangunan di sepanjang jalan utama.
“Penilaian ini penting bagi memastikan cadangan pengezonan yang dikemukakan bersesuaian dengan keadaan dan keperluan setiap kawasan,” menurut kenyataan DBKL hari ini.
DBKL memaklumkan sebarang pelaksanaan pengezonan kampung tradisi akan tertakluk pada kawalan perancangan antaranya melibatkan aspek ketinggian bangunan, kepadatan serta reka bentuk seni bina yang mencerminkan identiti Melayu.
Menurut kenyataan itu, keluasan dan sempadan kawasan yang berpotensi dijadikan zon kampung tradisi hanya akan dimuktamadkan selepas kajian terperinci serta penilaian berkaitan selesai dijalankan.
DBKL turut menegaskan bahawa cadangan pengezonan itu bukan bertujuan menghalang pembangunan, sebaliknya memastikan keperluan pembangunan semasa dapat diseimbangkan dengan usaha mengekalkan identiti perkampungan.
“Pandangan dan persetujuan pemilik tanah akan menjadi pertimbangan utama dalam kajian ini.
“Selain itu, DBKL juga akan mengambil kira kepentingan pemilik tanah yang tidak bersetuju dengan cadangan pengezonan, termasuk sebarang cadangan pembangunan tanah masing-masing, tertakluk pada dasar perancangan, kesesuaian tapak serta keperluan teknikal yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, tiada keputusan muktamad dibuat berkaitan perubahan pengezonan kawasan itu dan sebarang cadangan perubahan zon guna tanah perlu melalui proses Perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) selaras peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 termasuk publisiti, pameran awam serta pertimbangan pandangan dan bantahan pihak berkepentingan.
Menurut DBKL, pameran awam itu dijadualkan berlangsung pada Mei 2027, manakala pewartaan perubahan pelan tempatan disasarkan pada Februari 2028, tertakluk pada penyempurnaan proses dan kelulusan yang ditetapkan.
Kampung Sungai Penchala terletak dalam kawasan Rizab Melayu seluas 303.71 hektar.



