Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi dijadikan zon kampung tradisi di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.
Bertujuan pelihara identiti dan warisan perkampungan Melayu
Menurut DBKL, kajian menerusi Pelan Kawalan Mikro (PKM) itu bertujuan memelihara identiti serta warisan perkampungan Melayu di ibu negara, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI.

Ambil kira pelbagai aspek
Difahamkan, kajian berkenaan turut mengambil kira ciri-ciri perkampungan, pembangunan sedia ada, keupayaan infrastruktur serta kepentingan pemilik tanah dan penduduk setempat.
Sekiranya cadangan pengezonan diteruskan, pembangunan di kawasan terlibat akan tertakluk kepada kawalan perancangan tertentu, termasuk aspek ketinggian bangunan, kepadatan pembangunan dan reka bentuk yang mengekalkan identiti seni bina Melayu.

Untuk rekod, Kampung Sungai Penchala terletak dalam kawasan Rizab Melayu Sungai Penchala yang berkeluasan 303.71 hektar.
Walau bagaimanapun, lot tanah yang berpotensi dijadikan zon kampung tradisi hanya akan dikenal pasti selepas kajian terperinci selesai.

DBKL turut menegaskan bahawa cadangan itu bukan bertujuan menyekat pembangunan, sebaliknya memastikan keseimbangan antara pemeliharaan identiti perkampungan dengan keperluan pembangunan semasa.
Pandangan dan persetujuan pemilik tanah juga akan menjadi pertimbangan utama, termasuk mengambil kira kepentingan mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan pengezonan berkenaan.
Setakat ini, tiada keputusan muktamad dibuat berhubung perubahan zon guna tanah di kawasan terbabit.
Sebarang cadangan perubahan perlu melalui proses Perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), termasuk publisiti, pameran awam serta pertimbangan pandangan dan bantahan pihak berkepentingan.
Menurut DBKL, proses pameran awam dijangka berlangsung pada Mei 2027, manakala pewartaan perubahan pelan tempatan disasarkan pada Februari 2028, tertakluk kepada proses dan kelulusan yang ditetapkan.






