DBKL Naik Taraf Kompleks Krematorium Cheras, Kapasiti Operasi Dijangka Meningkat 50 Peratus

8 Jul 2026 • 2:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

DBKL Naik Taraf Kompleks Krematorium Cheras, Kapasiti Operasi Dijangka Meningkat 50 Peratus

DBKL Naik Taraf Kompleks Krematorium Cheras, Kapasiti Operasi Dijangka Meningkat 50 Peratus

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek menaik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras menerusi peruntukan sebanyak RM45 juta bagi meningkatkan kapasiti operasi serta mempercepat tempoh perkhidmatan kepada komuniti bukan Islam.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, projek itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026.

Menurut DBKL, kompleks yang mula beroperasi sejak tahun 1977 itu merupakan antara kemudahan krematorium awam terbesar di Malaysia dengan purata 5,844 operasi kremasi direkodkan setiap tahun.

Katanya, projek berkenaan akan menambah jumlah mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit sekali gus meningkatkan kapasiti operasi harian daripada 18 kepada 27 kremasi.

Baca juga:

"Projek yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan dijangka siap pada tahun 2029.

"Ia turut merangkumi penaiktarafan ruang menunggu serta kemudahan sokongan yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna," menurut kenyataan itu.

DBKL berkata, sepanjang tempoh pembinaan, empat unit mesin kremator sementara akan disediakan bagi memastikan operasi dan perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam meningkatkan standard penyampaian perkhidmatan awam menerusi penambahbaikan sistem, tadbir urus dan kecekapan operasi.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan pembaharuan organisasi DBKL yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berakauntabiliti.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, setiap kemudahan awam perlu memenuhi standard yang jelas supaya rakyat memperoleh perkhidmatan yang berkualiti apabila diperlukan.

"Keperluan rakyat sentiasa berubah. Sebab itu standard perkhidmatan DBKL juga mesti terus dipertingkatkan supaya setiap kemudahan awam mampu berfungsi dengan cekap dan memenuhi keperluan sebuah ibu negara," katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya melalui impak terhadap kualiti perkhidmatan yang dinikmati rakyat.

"Bagi DBKL, ukuran kejayaan bukan jumlah projek yang disiapkan tetapi kualiti perkhidmatan yang dirasai rakyat. Itulah standard prestasi yang kami pegang dalam setiap penambahbaikan yang dilaksanakan," ujarnya.

DBKL berkata, pihaknya akan terus memperkukuh standard penyampaian perkhidmatan awam menerusi penambahbaikan kemudahan, sistem dan proses kerja bagi memastikan Kuala Lumpur terus berfungsi dengan cekap sebagai sebuah ibu negara yang diyakini serta mampu memenuhi keperluan warga kota.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved