
Harga peranti di pasaran akan terus meningkat tahun ini kerana permintaan untuk RAM lebih tinggi daripada kapasiti pengeluaran. Pengeluar RAM boleh meletakkan harga yang tinggi dan pelanggan yang terdesak akan membayarnya bagi memastikan produk dapat dipasarkan. Terkini sebuah saman kumpul telah difailkan ke atas Samsung, SK Hynix dan Micron kerana didakwa berkomplot mengurangkan bekalan RAM yang diperlukan bagi menaikkan harga.

Saman difailkan di California oleh 17 plaintif yang terdiri daripada beberapa perniagaan PC di Amerika Syarikat menggunakan tuntutan Akta Sherman yang mengharamkan monopoli di Amerika Syarikat. Samsung, SK Hynix dan Micron memegang 90% pasaran pengeluaran RAM global.
Mereka didakwa menggunakan alasan beralih kepada pengeluaran RAM HBM bagi memenuhi keperluan pusat data bagi mengurangkan pengeluaran DDR4 dan DDR3 yang diperlukan sektor lain. Ini sekaligus mewujudkan kekurangan yang membolehkan harga tinggi ditetapkan. Dalam masa empat tahun, harga RAM meningkat 700%. Plaintif meminta saman diterima sebagai saman terkumpul, injunksi dikenakan dan ganti rugi tiga kali ganda.
Kerana permintaan RAM yang tinggi tahun ini, Samsung menjadi syarikat pertama Korea Selatan mencapai nilai pasaran $1 trilion sebelum kemudiannya diikuti oleh SK Hynix. Pendapatan Samsung misalnya melonjak hampir lapan kali ganda sehingga ahli kesatuan sekerja mengancam mengadakan mogok 18 hari sekiranya bonus setimpal tidak diberikan bulan lalu. Bagi mengelakkan pengeluaran terjejas, Samsung bersetuju membayar bonus KRW 513 juta (~RM 1.3 juta) kepada kakitangan Samsung Semiconductor.
Sumber – Tom’s Hardware



