DBKL setuju benarkan pemaju teruskan projek J Satine

21 Apr 2025 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerja-kerja bagi Fasa 1 di Blok C dan D J Satine hanya boleh dimulakan selepas kerja-kerja pengukuhan asas dan pembaikan struktur disempurnakan sepenuhnya. (Kenyataan DBKL pada Isnin.)

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan pihak pemaju meneruskan pembinaan projek J Satine Fasa 3 di Blok SOHO serta Fasa 2 di Blok A dan B yang terletak di Wangsa Maju.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan, kerja-kerja bagi Fasa 1 di Blok C dan D hanya boleh dimulakan selepas kerja-kerja pengukuhan asas dan pembaikan struktur disempurnakan sepenuhnya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima Laporan Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Februari yang disediakan jurutera profesional bertauliah.

“Laporan ini mengandungi beberapa cadangan dan turut disokong oleh jurutera bebas yang terlibat dan mendapat pengesahan dari segi aspek keselamatan dan kestabilan bangunan.

“DBKL berpuas hati dengan perancangan serta pengesahan dari aspek keselamatan yang dikemukakan dan bersetuju membenarkan pihak pemaju meneruskan pembinaan.

“DBKL juga telah menetapkan bahawa pihak perunding jurutera projek perlu mengemukakan Laporan Kemajuan Bulanan dan Laporan Penyiapan Kerja Pembaikan yang telah disemak dan disahkan oleh perunding bebas kepada DBKL pada setiap hujung bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini dilaporkan, DBKL mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju di sini selepas terdapat kesan keretakan struktur bangunan.

Jelasnya, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan satu letupan telah berlaku di tapak pembinaan tersebut.

Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihak pemaju telah diarahkan untuk mengadakan sesi libat urus bersama pembeli unit J Satine serta agensi-agensi berkaitan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Penerangan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh pengeluaran notis henti kerja yang terkini.

“DBKL sentiasa memastikan segala tindakan yang diambil dalam isu pembangunan J Satine ini berteraskan kepada prinsip akauntabiliti, keselamatan, ketelusan dan integriti.

“Selain itu, DBKL juga akan terus memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan pembaikan serta kemajuan projek ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan semua pihak,” ujarnya.