MENJELANG Aidilfitri, suasana di seluruh negara semakin terasa meriah apabila orang ramai mula membuat persiapan menyambut lebaran.
Di sebalik kesibukan membeli baju raya, menyiapkan kuih-muih dan merancang perjalanan pulang ke kampung, ramai yang sebenarnya sedang menunggu satu perkara iaitu apakah berita baik bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat dalam masa terdekat.
Debaran itu dikuatkan lagi apabila Pejabat Perdana Menteri pada Isnin memaklumkan Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri.
Setiap kali menjelang musim perayaan, pengumuman kerajaan sering menjadi sinar harapan kepada rakyat.
Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, sebarang bantuan atau inisiatif daripada kerajaan mampu memberi nafas lega, terutama kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Hakikatnya, persiapan menyambut Hari Raya bukan murah.
Harga pakaian baharu, bahan mentah untuk juadah raya, perbelanjaan menghias rumah serta kos perjalanan pulang ke kampung semuanya menuntut perbelanjaan yang besar.
Bagi sesetengah keluarga, setiap ringgit perlu dirancang sebaik mungkin agar kegembiraan Aidilfitri tidak bertukar menjadi beban kewangan.
Sebab itu, sebarang pengumuman kerajaan menjelang Aidilfitri sering ditunggu kerana ia mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat.
Di kedai kopi, di pejabat malah di media sosial, pastinya perbualan sama akan berulang iaitu apakah berita gembira yang bakal diumumkan menjelang Aidilfitri kali ini?
Jika melihat kepada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan lazimnya mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara menjelang Aidilfitri.
Bantuan tersebut sering menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk membuat persiapan raya bersama keluarga.
Selain itu, terdapat juga bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan menjelang perayaan.
Bagi keluarga yang bergantung kepada bantuan tersebut, ia sering menjadi ‘penyelamat’ untuk membeli keperluan asas dan persiapan raya.
Tidak ketinggalan, langkah seperti diskaun tol atau pelepasan tol pada musim perayaan yang pernah diumumkan sebelum ini turut memberi manfaat besar kepada rakyat.
Bagaimanapun, tahun ini harapan rakyat mungkin sedikit berbeza.
Dalam keadaan ekonomi semasa yang masih mencabar dan harga barang makin meningkat, rakyat kini menaruh harapan agar pengumuman kali ini membawa sesuatu yang lebih baharu, segar dan memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Ada yang mungkin berharap kerajaan dapat memperluaskan bantuan kepada lebih ramai golongan memerlukan.
Ada juga mungkin yang mengharapkan langkah lebih agresif bagi menstabilkan harga barangan keperluan agar rakyat tidak terbeban ketika membuat persiapan raya.
Atas yang pasti, harapan rakyat cukup jelas agar berita baik yang bakal diumumkan bukan sekadar mengurangkan beban perbelanjaan raya, tetapi turut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran kos sara hidup sedang dihadapi masyarakat.
Jika berita baik yang diumumkan nanti mampu meringankan sedikit beban itu, pastinya Aidilfitri tahun ini akan terasa lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.





