Cantik, tampan bergaya di hari raya, jangan sampai 'poket kering'

LocalPersonal Finance
10 Mar 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suasana di Kompleks PKNS Shah Alam dipenuhi warga Shah Alam yang membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.

MENJELANG sambutan Aidilfitri, suasana membeli-belah semakin meriah dengan orang ramai berpusu-pusu membuat persiapan raya.

Pusat beli-belah, bazar Ramadan dan premis pakaian dipenuhi pengunjung yang ingin mendapatkan kelengkapan baharu.

Di sebalik kegembiraan itu, rakyat diingatkan supaya tidak terlalu ghairah berbelanja sehingga akhirnya berdepan kesempitan kewangan selepas raya.

Pada Ahad lalu, penulis sendiri berkesempatan meninjau suasana persiapan raya di Kompleks PKNS Shah Alam.

Tinjauan terbabit dilakukan sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan.

Ia susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik antarabangsa akibat peperangan antara Amerika Syarikat (AS)- Israel terhadap Iran ketika ini.

Ahli Parlimen Tambun itu mengingatkan orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan wang dan mengelakkan pembaziran khususnya dalam tempoh Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Apa yang dapat dilihat ketika tinjauan penulis, pelbagai pilihan pakaian raya ditawarkan kepada pelanggan dengan harga yang berbeza-beza.

Ada baju raya yang dijual sekitar RM50 dan tetap kelihatan cantik serta sesuai dipakai ketika Aidilfitri tidak lama nanti.

Pada masa sama, terdapat juga pakaian yang harganya mencecah sehingga RM500 bergantung kepada jenama dan rekaan.

Perkara terbabit menunjukkan pilihan sebenarnya berada di tangan pengguna.

Realitinya, setiap kali Aidilfitri menjelang, perbelanjaan isi rumah biasanya meningkat memandangkan pembelian pakaian baharu, kuih raya, perhiasan rumah hinggalah kos perjalanan pulang ke kampung, semuanya memerlukan wang.

Tanpa perancangan yang baik, ada yang akhirnya terpaksa berjimat secara mendadak ataupun 'kering poket' selepas perayaan.

Dengan konflik di Asia Barat dan keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini, sikap berjimat cermat semakin penting.

Hakikatnya, berbelanja untuk menyambut hari raya bukanlah satu kesalahan, apatah lagi Aidilfitri sememangnya waktu untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa serta berkongsi kegembiraan bersama keluarga.

Oleh demikian, kegembiraan terbabit tidak seharusnya bertukar menjadi beban kewangan yang berpanjangan.

Jika ingin membeli baju raya baharu, tiada salahnya berbuat demikian, namun biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Tidak semestinya pakaian yang mahal menjadi ukuran kegembiraan menyambut Aidilfitri, sebaliknya baju yang sederhana tetapi selesa dipakai sudah memadai untuk meraikan hari yang penuh makna itu.

Jika baju raya lama masih elok dan masih muat dipakai, apa salahnya menggunakannya semula.

Kesederhanaan seperti ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran, malah menunjukkan sikap bijak dalam mengurus kewangan keluarga.

Apabila raya berlalu, barulah ramai menyedari poket semakin ‘kering’ hingga ada yang terpaksa menangguhkan pelbagai keperluan lain kerana wang telah habis digunakan untuk persiapan raya.

Berbelanja secara berhemah bukan mengurangkan kegembiraan, sebaliknya memastikan kita tidak ‘poket kering’ selepas raya.