Defisit fiskal Malaysia dijangka sukar capai sasaran 3.8% tahun ini - penganalisis

25/04/2025 - 10:10
KUALA LUMPUR 25 April - Sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini mungkin sukar dicapai berikutan ekonomi dijangka berkembang perlahan.
Sehingga Disember 2024, nisbah hutang kerajaan kepada KDNK berada pada 64.6%, bersamaan RM1.25 trilion, menurut laporan suku tahunan Kementerian Kewangan.
Penganalisis iFAST Capital, Kevin Khaw Khai Sheng berkata, pertumbuhan ekonomi yang perlahan akibat Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) menjadi kebimbangan utama yang boleh menjejaskan keupayaan kerajaan mencapai sasaran itu.
"Tahun ini mungkin bukan masa sesuai untuk mencapai sasaran 3.8% kerana banyak ketidaktentuan," katanya kepada StarBiz.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terkini kelmarin turut memberi amaran, hutang awam global dijangka mencecah paras seperti era pandemik Covid-19 menjelang akhir dekad ini, hampir 100% daripada KDNK global.
IMF berkata, tekanan ekonomi daripada tarif tinggi AS boleh memperlahankan pertumbuhan dan perdagangan global, sekali gus memberi tekanan kepada belanjawan kerajaan.
Untuk tahun 2025, IMF menjangka hutang awam global meningkat sebanyak 2.8 mata peratusan kepada 95.1% daripada KDNK global.
Khai Sheng bagaimanapun berkata, paras hutang Malaysia dijangka masih terkawal memandangkan negara mempunyai kestabilan fiskal dan tidak bergantung besar kepada pinjaman luar.
"Kita masih boleh menerima dividen daripada Petronas dan hasil cukai negara masih kukuh. Jadi saya tidak jangka akan berlaku peningkatan hutang yang serius," jelasnya.
Profesor ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng bersetuju bahawa kelembapan ekonomi mungkin sedikit menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran defisit kerana kutipan hasil yang rendah dan perbelanjaan rangsangan kerajaan yang mungkin melebihi bajet.
Sebaliknya, ahli ekonomi Geoffrey Williams percaya, sasaran kerajaan masih boleh dicapai walaupun pertumbuhan perlahan memberi tekanan terhadap usaha pengurangan defisit dan hutang.
Awal minggu ini, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1% berbanding 4.7% sebelum ini.
"Penurunan ini berpunca daripada jangkaan tarif balas AS. Kesan ekonominya dianggarkan RM11.6 bilion bagi tahun 2025.
"Ini boleh dielakkan jika Malaysia berjaya berunding dengan AS dalam tempoh 90 hari pengecualian tarif yang diberikan," ujarnya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, amaran IMF adalah isyarat bahawa hutang awam global mungkin meningkat jika kerajaan mengambil langkah rangsangan fiskal untuk merangsang ekonomi.
"Saya rasa amaran itu munasabah memandangkan ketidaktentuan yang dibawa oleh pentadbiran Trump, terutamanya dalam isu tarif import," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan kewangan di UCSI University dan penyelidik The Center for Market Education (CME), Liew Chee Yoong berkata, risiko yang dibangkitkan IMF adalah nyata dan serius, namun Malaysia masih mempunyai masa dan pilihan dasar untuk bertindak balas.
Walaupun hutang negara masih terkawal, Chee Yoong menjelasan, Malaysia mudah terkesan dengan kejutan luar seperti turun naik harga minyak dan aliran keluar modal asing.
Beliau mencadangkan perubahan dalam sistem cukai, termasuk kemungkinan mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi meluaskan asas hasil kerajaan.
"Selain itu, pematuhan cukai yang lebih baik dan pengurangan ketirisan juga boleh menambah hasil tanpa menaikkan kadar cukai secara mendadak," katanya.
Ahli ekonomi kanan ASEAN di OCBC, Lavanya Venkateswaran pula berkata, pengurangan perbelanjaan pembangunan mungkin membantu mengimbangi fiskal dalam jangka pendek, tetapi memberi kesan kurang baik dalam jangka sederhana.
Sebaliknya, beliau berkata, fokus kepada perubahan ekonomi melalui pelan pembangunan industri dan semikonduktor serta mencari rakan dagangan baharu akan menguatkan ekonomi dalam jangka sederhana. - DagangNews.com
standard


