HLIB Research ramal TIV 2025 susut sebanyak 8.2% kepada 750,000 unit

25/04/2025 - 16:19
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 25 April - Jumlah industri automotif (TIV) dijangka menurun kepada 750,000 unit tahun ini, berkurangan 8.2 peratus berbanding tahun lepas, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research.
Ramalan TIV oleh firma penyelidikan itu lebih rendah berbanding jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang menyasarkan 780,000 unit.
Pada bulan Mac lalu, sektor tersebut mencatatkan jualan TIV sebanyak 72,700 unit, didorong oleh kempen jualan agresif oleh pelbagai pengeluar peralatan asal (OEM).
Namun, jumlah jualan kenderaan tahun ini turun 7.4 peratus kepada 188,100 unit berbanding tahun lepas, kerana trend pasaran kembali normal dan pesanan tertunda semakin berkurang.
"Kami menjangka TIV untuk 2025 akan kembali kepada tahap 750,000 unit, selepas mencapai rekod tertinggi baharu sebanyak 816,700 unit pada 2024, disebabkan oleh penurunan pesanan tertunda dan penurunan permintaan pesanan baharu pada bulan-bulan akan datang.
"Bagaimanapun, masih ada potensi kenaikan dari pelancaran model-model baharu yang menarik pada 2025, ditambah dengan lebih banyak aktiviti pemasaran agresif oleh OEM untuk mengekalkan jualan, walaupun terpaksa mengurangkan margin," kata HLIB Research dalam satu nota kajian.
Mengenai jenama individu, firma penyelidikan berkenaan berkata, jualan Proton Holdings Bhd kekal rendah untuk model-model sedia ada, sementara eksport juga menunjukkan kadar yang perlahan.
Ia juga menjangka Honda akan terjejas akibat sentimen pasaran yang semakin perlahan dan persaingan sengit daripada pengeluar China.
"SUV segmen B baharu, Yaris Cross, dijangka dilancarkan pada tahun ini. Toyota Japan pula dilihat semakin agresif dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan rancangan menambah model EV kepada 15 menjelang 2027, berbanding lima model sekarang," jelasnya.
HLIB Research juga berkata, pesanan tertunda kini semakin berkurang pada suku kedua 2025 dan dijangka terus menurun pada suku seterusnya kerana pengguna semakin berhati-hati akibat ekonomi yang perlahan.
"Kami menjangka pendapatan untuk sektor ini akan menurun pada 2025 disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi, tetapi sebahagiannya ditampung oleh kekuatan ringgit," ujarnya.
Pilihan utama HLIB Research untuk sektor tersebut adalah MBM Resources Bhd (beli, harga sasaran: RM4.70) dan Sime Darby Bhd (beli, harga sasaran: RM2.65) kerana pendedahan kukuh terhadap jualan OEM nasional, Perodua, yang stabil, berpotensi untuk eksport jangka panjang dan mampu beri pulangan dividen yang konsisten.
HLIB Research juga mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor automotif. - DagangNews.com
standard


