Defisit fiskal Malaysia mengecil lima tahun berturut-turut, hutang kekal terkawal - MoF

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Defisit fiskal Malaysia mengecil lima tahun berturut-turut, hutang kekal terkawal - MoF Image from: Defisit fiskal Malaysia mengecil lima tahun berturut-turut, hutang kekal terkawal - MoF hamden29/07/2026 - 11:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memastikan paras hutang kekal terurus tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

 

Timbalan Menteri Kewangan  Liew Chin Tong berkata, komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan fiskal telah membuahkan hasil apabila defisit fiskal Kerajaan Persekutuan berjaya dikurangkan selama lima tahun berturut-turut.

 

"Defisit fiskal berkurangan daripada 6.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 5.5% pada 2022, sebelum mengecil lagi kepada 5.0% pada 2023, 4.1% pada 2024 dan 3.7% pada 2025.

 

"Selaras dengan usaha konsolidasi fiskal tersebut, jumlah pinjaman baharu kerajaan turut menunjukkan trend penurunan daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, sebelum susut kepada RM77 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Beliau menjawab jawapan Senator Datuk Leong Ngah Ngah yang bertanya langkah Kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal serta memastikan kestabilan ekonomi negara memandangkan nisbah hutang Kerajaan kini menghampiri 60 peratus daripada KDNK. 

 

Menurut Chin Tong, pelaksanaan dasar fiskal yang lebih berhemat turut menyaksikan kadar pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan menurun secara konsisten.

 

Katanya, kadar pertumbuhan hutang berkurang daripada 11.4% pada 2021 kepada 10.2% pada 2022, sebelum terus menurun kepada 8.6% pada 2023, 6.4% pada 2024 dan 5.9% pada 2025.

 

"Kerajaan turut komited memastikan kadar pertumbuhan hutang bagi tahun 2026 berada pada paras lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

"Sehingga akhir Mac 2026, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 63.1% daripada KDNK, lebih rendah berbanding 65.2% pada akhir 2025. Kerajaan juga kekal mematuhi semua had statutori hutang yang ditetapkan," katanya.

 

Hutang statutori yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berada pada 61.9% daripada KDNK setakat akhir Mac 2026, masih di bawah had statutori 65%.

 

Selain itu, pinjaman luar pesisir berjumlah RM20.8 bilion, jauh lebih rendah daripada siling RM35 bilion, manakala Bil Perbendaharaan Malaysia sebanyak RM4.5 bilion kekal di bawah had RM10 bilion.

 

Chin Tong berkata, pengurusan hutang negara turut diperkukuh melalui pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang menetapkan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada bawah 3% daripada KDNK serta memastikan paras hutang tidak melebihi 60% daripada KDNK dalam jangka sederhana. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved