Deleum lengkapkan pengambilalihan 70% saham syarikat Indonesia, PT OSA

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Deleum lengkapkan pengambilalihan 70% saham syarikat Indonesia, PT OSA

image is not available

03/06/2025 - 15:31

Dari kiri, Pengasas dan Pengarah PT OSA, Ong Siow Aik dan Ketua Pegawai Eksekutif Deleum Berhad, Rao Abdullah. Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jun - Anak syarikat Deleum Bhd, Deleum Services Sdn Bhd, berjaya melengkapkan pembelian 70 peratus saham dalam syarikat Indonesia, PT OSA Industries (PT OSA) dengan harga RM31.3 juta.

PT OSA merupakan syarikat yang terlibat dalam pembekalan, penyelenggaraan dan servis injap untuk sektor minyak dan gas (O&G) di Indonesia.

Perjanjian tersebut turut merangkumi jaminan keuntungan sebanyak RM12.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Deleum, Rao Abdullah berkata, pengambilalihan berkenaan adalah langkah penting bagi syarikat untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat Asia Tenggara.

Jelasnya, dengan kepakaran teknikal, pengetahuan pasaran dan cara kerja baharu, Deleum yakin dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan PT OSA.

"Kami berhasrat mengembangkan pasaran PT OSA di Indonesia, memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan meningkatkan nilai syarikat melalui pertumbuhan yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pengambilalihan itu akan mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor O&G Asia Tenggara, khususnya dalam bidang penyelenggaraan injap, serta memperluas operasi mereka di Indonesia.

Langkah tersebut juga melengkapi perniagaan injap sedia ada yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Penaga Dresser Sdn Bhd.

"Dengan pengambilalihan ini, Deleum akan memberi tumpuan kepada usaha menyepadukan operasi PT OSA serta menyelaraskan amalan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia.

"Syarikat juga merancang untuk meningkatkan perkhidmatan pengurusan kitar hayat injap, mempercepat proses penghantaran dan berkongsi kepakaran teknikal antara kedua-dua pasukan," ujarnya.

Rao berkata, usaha berkenaan membolehkan Deleum menawarkan rumusan yang lebih menyeluruh dan berskala serantau kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara. - DagangNews.com

standard