SPAC Malaysia: Hanya Hibiscus Petroleum kekal bertahan

13/05/2025 - 11:22
KUALA LUMPUR 13 Mei - Konsep Syarikat Pengambilalihan Tujuan Khas (SPAC) di Malaysia dilihat mula menarik perhatian semula, namun pelabur dan penggubal dasar masih berhati-hati dengan potensi dan risiko sebenar kenderaan pelaburan itu.
Ia kerana, daripada lima SPAC yang pernah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak pengenalan konsep tersebut pada 2009, hanya Hibiscus Petroleum Berhad yang masih bertahan.
Menurut analisis pasaran, empat syarikat lain gagal termasuk Reach Energy Bhd yang baru sahaja dinyahsenarai pada 29 April lalu.
Hibiscus Petroleum, yang disenaraikan pada 25 Julai 2011, kekal sebagai syarikat tunggal model SPAC di Malaysia.
Syarikat berkenaan berjaya melengkapkan pengambilalihan kelayakan (QA) pada April 2012 dan berkembang menjadi syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas (O&G) yang kukuh dengan operasi di Malaysia, Australia, Oman dan United Kingdom.
Pengarah Urusannya, Zainul Rahim berkata, pembiayaan Islam RM433 juta yang diperoleh baru-baru ini bagi operasi di Brunei menunjukkan keyakinan jangka panjang terhadap potensi SPAC dalam memperkukuh sektor strategik.
Reach Energy, yang pernah merekod pencapaian sebagai SPAC dengan IPO terbesar bernilai RM750 juta pada 2014, akhirnya dinyahsenarai selepas Bursa Malaysia menolak permohonan ketiganya untuk melanjutkan tempoh penyediaan pelan penyusunan semula.
Syarikat itu, yang memiliki 60% kepentingan dalam konsesi minyak di Kazakhstan, mencatatkan kerugian terkumpul RM531.96 juta pada akhir 2023.
Nasib serupa turut menimpa Sona Petroleum Bhd yang dinyahsenarai pada 2018, CLIQ Energy Bhd (2019) dan Red Sena Bhd (2019) kerana kesemuanya gagal memenuhi syarat QA dalam tempoh yang ditetapkan.
Pengarah Urusan Kumpulan Vision Group, Chua Zhu Lian berkata, model SPAC masih relevan untuk pasaran modal Malaysia, tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan.
"Kami perlu belajar daripada kesilapan lalu dan mungkin melihat contoh kejayaan di pasaran seperti Amerika Syarikat (AS) yang kini mengalami kebangkitan semula SPAC dengan versi lebih baik," katanya seperti laporan The Borneo Post.
Beliau mencadangkan beberapa perubahan penting antaranya melanjutkan tempoh pencarian QA daripada tiga tahun kepada lima tahun, memberi lebih fleksibiliti dalam struktur pembiayaan dan memperkenalkan insentif cukai untuk menarik penyokong SPAC berkualiti.
Katanya, walaupun pasaran SPAC global mengalami kemerosotan sejak 2022, pakar percaya masih ada ruang untuk model berkenaan di Malaysia, terutamanya untuk syarikat dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan makanan halal yang memerlukan akses kepada pembiayaan awam.
"Kunci kejayaan terletak pada keseimbangan antara melonggarkan peraturan untuk menarik minat dan mengekalkan perlindungan pelabur yang mencukupi," kata Zhu Lian. - DagangNews.com
featured standard




