Demi Pulihkan Kewangan Syarikat, Panasonic Akan Berhentikan 10,000 Pekerja Seluruh Dunia

Entertainment
10 May 2025 • 1:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Panasonic Holdings Corp. mengumumkan pemecatan seramai 10,000 pekerja di seluruh dunia, iaitu hampir lima peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat itu, dalam usaha terbaharu untuk menyusun semula perniagaannya.

Menurut laporan Astro Awani, langkah itu melibatkan 5,000 pekerja di Jepun dan 5,000 lagi di luar negara, dengan sebahagian daripada mereka ditawarkan skim persaraan awal. Sehingga Mac lalu, jumlah keseluruhan pekerja Panasonic ialah 207,548 orang.

Penstrukturan semula ini dibuat selepas syarikat mencatatkan caj penyusunan semula sebanyak 130 bilion yen (bersamaan sekitar RM3.9 bilion). Presiden Panasonic, Yuki Kusumi, turut menyatakan rasa bertanggungjawab atas langkah ini dan memaklumkan bahawa beliau akan memulangkan kira-kira 40 peratus daripada jumlah gajinya.

image is not available

Bagi tahun fiskal yang berakhir pada Mac lalu, keuntungan bersih Panasonic menyusut 17.5% kepada 366.21 bilion yen (bersamaan kira-kira RM10.9 bilion), manakala hasil jualan turun 0.5% kepada 8.46 trilion yen (bersamaan RM252 bilion).

Panasonic menjangkakan keuntungan bersih akan terus merosot sebanyak 15.3% dalam tahun fiskal berikutnya, dengan jangkaan penurunan jualan sebanyak 7.8 peratus. Melalui pelan reformasi ini, syarikat menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan tahunan melebihi 300 bilion yen (lebih RM8.9 bilion) menjelang tahun fiskal 2028.

Panasonic pernah melaksanakan langkah pemberhentian pekerja besar-besaran pada tahun 2001 ketika masih dikenali sebagai Matsushita Electric Industrial Co., dengan menawarkan skim persaraan awal kepada 13,000 pekerja. Langkah itu telah berjaya memulihkan kedudukan kewangan syarikat.

 

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.