KUALA LUMPUR - Dendam peribadi dipercayai menjadi motif seorang lelaki menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong di sini pada 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan di Kepong pada Selasa.
"Polis akan memohon reman terhadap suspek pada Rabu bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah dendam peribadi berkaitan nombor ramalan. Suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Fadil berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan ditidurkan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50 peratus pada badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.
Mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira jam 8 pagi yang memaklumkan seorang wanita diserang seorang lelaki tidak dikenali.





