Dendeng & Sambal Nyet Berapi Khairul Aming Kini Disahkan Halal Oleh JAKIM

LocalFood
21 Nov 2024 • 6:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Khairul Aming merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia kulinari dan perniagaan di Malaysia.

Pada Januari 2021, dia telah menghasilkan Sambal Nyet yang menjadi kegilaan ramai sehingga pernah 13,000 produk tersebut ‘sold out’ dalam masa hanya dua minit.

Selain Sambal Nyet, satu lagi produk dihasilkan ialah Dendeng Nyet Berapi. Sebelum ini, influencer berkenaan telah menjelaskan mengenai persoalan tiada sijil halal bagi produknya.

Sasarkan Dapat Sijil Halal Bagi Kilang Di Kelantan Tahun Ini

Terbaharu, Khairul Aming mengumumkan kedua-dua produknya itu telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, dapat dilihat satu sijil halal JAKIM yang tertulis nama kedua-dua produk tersebut telah diserahkan kepadanya.

“Alhamdulillah Dendeng dan Sambal Nyet kini disahkan HALAL oleh JAKIM,” katanya.

Khairul Aming berkata dia sebelum ini menyasarkan akan menerima sijil halal bagi kilangnya di Kota Bahru, Kelantan pada tahun ini dan ia terbukti apabila berjaya mendapatkannya daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan semalam (20 November).

Kilang Khairul Aming Dapat Kelulusan MeSTI KKM

Influencer itu dalam masa sama juga memaklumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Khairul Aming sebelum ini menjelaskan melalui pensijilan MeSTI, premis kilang makanan akan dibimbing dalam membangun dan melaksanakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) sebelum pengiktirafan diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekarang kilang kita diiktiraf selamat, bersih dan juga halal,” katanya.

image is not available
Sumber gambar: @khairulaming/ Instagram

Ingin Dapatkan Sijil HACCP Bagi Kilang Di Kelantan

Dalam pada itu, dia turut berkata bahawa pihaknya kini akan berusaha bagi mendapatkan sijil Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi kilangnya di Kelantan.

“Bermula dengan kilang dari zero, kita bina sedikit demi sedikit sehingga dapat pengiktirafan. So far kita dah dapat sijil MeSTI dan HALAL, doakan kita boleh apply untuk HACCP juga untuk kilang kat Kelantan,” katanya di hantaran Instagram tersebut.

Produk Ketiga Bakal Dihasilkan Oleh Khairul Aming

Dengan penganugerahan sijil halal JAKIM tersebut, Khairul Aming berkata ia membuka peluangnya untuk membawa produknya ke pasaran yang lebih besar.

Selain itu, langkah itu juga dipercayai dapat membantu dalam memperkembangkan lagi industri e-dagang dan pengilangan makanan di Kota Bahru, Kelantan.

Di samping itu, dia turut mengumumkan bahawa satu produk baharu juga akan dihasilkan tahun depan, menjadikannya produk ketiga di bawah syarikat Khairul Aming.

Khairul Aming turut berkata bahawa syarikatnya akan memasuki tahun kelima dalam sebulan sahaja lagi.

Orang ramai boleh menyemak status halal suatu produk makanan atau minuman menerusi Portal Halal Malaysia.

Menggunakan Rasapop (M) Sdn Bhd, iaitu nama syarikat Khairul Aming, sebagai carian di portal berkenaan menemukan kami dengan kedua-dua produk Dendeng Nyet Berapi dan Sambal Nyet Berapi.

image is not available
Sumber: Portal Halal Malaysia