
KUALA LUMPUR – UMNO mengulangi kesediaannya membina persefahaman politik menerusi gagasan Kolaborasi Agung bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan, khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persefahaman berkenaan atau Tafahum Siyasi bukan bermaksud penggabungan parti, sebaliknya usaha mencari titik temu berdasarkan kepentingan umum.
Katanya, terdapat tiga asas yang perlu dipersetujui iaitu mengutamakan persamaan demi maslahah umum, menghormati perbezaan ideologi dan identiti serta mengamalkan toleransi dan sikap anjal dalam membuat keputusan.
“Saya faham… Saya juga boleh membaca resahnya orang Melayu.
“Mereka tak mahu lagi kita bertembung. Mereka tak nak lagi kita berbalah sesama sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di WTC Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata, persefahaman politik itu bagaimanapun tidak bermakna mana-mana parti perlu mencairkan identitinya.
“Dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,” katanya.
Beliau pada masa sama memberi peringatan bahawa persefahaman politik tidak akan berjaya sekiranya wujud pengkhianatan antara rakan.
“Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri.
“Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama politik juga perlu mengambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa kepada pembukaan Kota Mekah atau Fathu Makkah.
Katanya, kemenangan tidak seharusnya digunakan untuk membalas dendam atau menghukum pihak yang tidak bersama.
“Kemenangan adalah amanah untuk menyatukan rakyat, memulihkan negara dan membina masa depan sejahtera untuk semua,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa UMNO mahu menjadi induk kekuatan politik Melayu tanpa menyebabkan kaum lain hidup dalam ketakutan.
“Saya mahu orang Melayu kuat, tanpa orang lain hidup dalam ketakutan.
“Saya mahu Islam terus dimartabatkan, tanpa agama lain merasa terancam.
“Saya mahu UMNO menjadi induk kekuatan politik Melayu, tetapi cukup besar jiwanya untuk berkongsi kekuasaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Dengan siapa pun bekerjasama, UMNO tetap UMNO’ appeared first on Kosmo Online.






