Denmark Memulakan Proses Mengurangkan Kebergantungan Kepada Perkhidmatan Digital Luar Negara

TechnologyDigital
12 Jun 2025 • 3:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft adalah salah satu daripada syarikat teknologi terbesar di dunia kerana kebergantungan sejumlah besar pelusuk dunia terhadap penggunaan sistem operasi Windows, perkhidmatan dan perisian produktiviti pejabat, sekolah dan rumah dan juga infrastruktur IT mereka.

Terkini, ia dilaporkan bahawa kerajaan negara Denmark telah memulakan proses untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan IT daripada syarikat tersebut. Sebagai langkah permulaan, Kementerian Pendigitalan (Ministry of Digitisation) mereka akan berhenti menggunakan perisian productiviti Microsoft Office dan berubah ke Libre Office, sebuah perisian produktiviti pejabat sumber terbuka.

Menteri Pendigitalan Denmark, Caroline Stage mengatakan bahawa perubahan ini dimulakan kerana mahu menerapkan konsep digital sovereignty atau kedaulatan digital pada tahap kerajaan. Kerajaan Denmark mahu mengurangkan kebergantungan kepada infrastruktur syarikat IT gergasi seperti Microsoft.

Di Eropah, khususnya negara-negara kesatuan Eropah sudahpun mempunyai undang-undang sedia ada seperti GDPR (General Data Protection Regulation) yang menetapkan bahawa data rakyat dalam kesatuan tersebut wajib disimpan dalam negara-negara kesatuan tersebut.

image is not available

Keputusan terbaru ini dilihat sebagai langkah seterusnya untuk melihat samada kerajaan Denmark boleh terus beroperasi tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan IT Microsoft. Buat masa ini, hanya Kementerian Pendigitalan sahaja yang akan memulakan langkah ini, dan ia dijangka bahawa semua kakitangan kerajaan dibawah kementerian tersebut akan beralih ke Libre Office pada penghujung tahun ini.

Menariknya, kerajaan pusat Denmark bukanlah pihak yang pertama di negara tersebut untuk membuat keputusan ini. Majlis perbandaran Copenhagen dan Aarhus, dua bandar terbesar di Denmark sebelum ini juga pernah mengumumkan bahawa mereka akan berhenti menggunakan Microsoft sebagai pembekal perkhidmatan IT setempat.

Untuk bandar-bandar ini, khususnya Copenhagen, kos perkhidmatan dan infrastruktur IT yang semakin mahal adalah diantara sebab mengapa mereka dilihat mahu menghentikan penggunaan tersebut. Kos langganan perisian Microsoft dilaporkan telah meningkat dari 313 million kroner (~RM131 juta) pada tahun 2018 ke 538 million kroner (~RM226 juta) pada tahun 2023, yang merupakan peningkatan 72 peratus dalam masa lima tahun sahaja.

Denmark dilihat sebagai salah satu daripada negara yang paling digital di dunia, dan kebanyakan daripada infrastruktur digital di negara tersebut terlalu bergantung kepada penawaran Microsoft. Perkara ini dilihat sebagai sebuah monopoli, dan sebagai sebuah negara berdaulat, kebergantungan kepada satu jenis perniagaan sahaja untuk pembangunan infrastruktur penting seperti ini bukanlah sesuatu yang baik.