Dera hingga mati, paksa budak makan najis daripada lampin

LocalFamily & Parenting
14 Oct 2026 • 1:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dera hingga mati, paksa budak makan najis daripada lampin

JOHOR BAHRU – Bekas pemandu e-hailing dihukum penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai balasan mendera kanak-kanak berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematian termasuk memaksa mangsa memakan najis sendiri.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Wen Jie, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan Wen Jie menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada 3 Oktober 2022 selain bon berkelakuan baik tanpa cagaran bagi tempoh tiga tahun.

Tertuduh juga diperintahkan melakukan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Fareed menyifatkan perbuatan memaksa mangsa, Lee See Jie memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai tindakan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.

“Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa, termasuk menghentak kepala, melakukan ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri untuk tempoh lama serta merotan.

“Menurut mahkamah, rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri,” katanya.

Mahkamah berkata, tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak lelaki berkenaan.

Mahkamah turut menolak hujah pihak pembelaan bahawa perbuatan itu merupakan cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.

“Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengambil kira pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ditarik balik serta punca kematian mangsa ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.

Selepas menimbang faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, 3, (ketika kejadian) di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai antara pukul 8 dan 8.30 malam, 2 Oktober 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nordiana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabaphaty dan K. Sarawanakumar. – KOSMO! ONLINE

The post Dera hingga mati, paksa budak makan najis daripada lampin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved