
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mendedahkan beliau mengambil keputusan untuk memohon maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas menerima nasihat daripada institusi diraja Johor susulan kenyataannya yang menggesa Zahid berundur selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap, Onn Hafiz berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta Pemangku Sultan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menasihatinya supaya mengambil pendekatan berdamai demi kestabilan pentadbiran negeri dan parti.
“Mereka menasihati saya supaya memohon maaf dan bertemu dengan presiden parti.
“Kita masih mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir negeri,” katanya.
Menurut beliau, kenyataannya ketika itu dibuat dalam kekecewaan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada PRU15, apabila gabungan tersebut hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.
Kekalahan tersebut turut mencetuskan tekanan dalaman dalam UMNO, apabila ramai ahli mendesak Ahmad Zahid mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan melepaskan jawatan presiden selepas kekalahan pilihan raya.
Onn Hafiz berkata, beliau kemudiannya bertemu Ahmad Zahid secara peribadi dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.
“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya percaya beliau telah memaafkan saya.
“Dari sudut hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu dianggap telah selesai,” katanya.
Pendedahan tersebut timbul selepas hos bersama podcast berkenaan, Shahril Hamdan, membangkitkan bahawa Onn Hafiz merupakan pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Ahmad Zahid berundur, namun tidak dikenakan tindakan disiplin parti.
Sebaliknya, Shahril berkata, beliau sendiri digantung daripada parti selepas membuat kenyataan serupa.
“Anda orang pertama yang menyuarakannya. Saya hanya orang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” katanya.
Mengulas perkara itu, Onn Hafiz berkata pendekatannya selepas kontroversi tersebut banyak dipengaruhi oleh nasihat daripada Istana Johor.
“Pada waktu itu, saya menerima nasihat daripada Istana Johor. Saya juga banyak berdoa,” katanya sambil disambut gelak tawa hos program. - Getaran, 26 Mei 2026
