Destini, anak syarikat diperintah bayar Damen Shipyards RM18 juta susulan keputusan timbang tara

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 6:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Destini, anak syarikat diperintah bayar Damen Shipyards RM18 juta susulan keputusan timbang tara Image from: Destini, anak syarikat diperintah bayar Damen Shipyards RM18 juta susulan keputusan timbang tara hamden13/11/2026 - 18:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Destini Berhad (Destini) dan anak syarikatnya, Destini Shipbuilding and Engineering Sdn. Bhd. (DSBE) diperintah membayar kira-kira RM18 juta kepada Damen Shipyards Gorinchem B.V. (Damen) susulan keputusan muktamad prosiding timbang tara di Singapura yang memihak kepada syarikat pembinaan kapal dari Belanda itu.

 

Keputusan Muktamad yang dikeluarkan tribunal timbang tara pada 11 November 2026 itu membabitkan tuntutan di bawah prosiding Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC), yang dimulakan Damen terhadap DSBE dan Destini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Destini berkata pihaknya menerima pemberitahuan mengenai keputusan berkenaan pada 12 November 2026.

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan keputusan itu, DSBE dan Destini bertanggungjawab secara bersama dan berasingan untuk membayar kepada Damen baki tertunggak invois sebanyak EUR1 juta, selain faedah sebelum keputusan, kos pengendalian dan penyimpanan bahan serta peralatan, yuran guaman dan perbelanjaan serta bahagian kos prosiding timbang tara yang perlu ditanggung pihak menuntut.

 

Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, tidak termasuk faedah selepas keputusan, dianggarkan sebanyak EUR3.81 juta (kira-kira RM17.24 juta) dan SGD241,050 (kira-kira RM765,503).

 

Tribunal turut memutuskan bahawa Perjanjian MPC tidak dipindah novasi dan DSBE kekal bertanggungjawab di bawah perjanjian itu.

 

Destini, selaku penjamin, turut bertanggungjawab di bawah Jaminan Korporat pada tahap yang sama seperti tanggungan DSBE di bawah MPC.

 

Pada masa sama, tuntutan balas pihak responden berjumlah EUR2.17 juta ditolak, manakala semua tuntutan dan tuntutan balas lain oleh kedua-dua pihak turut ditolak.

 

Kesan kewangan

Keputusan itu turut menetapkan faedah mudah selepas keputusan yang akan mula dikira 30 hari selepas tarikh keputusan, iaitu mulai 11 Disember 2026, sehingga pembayaran penuh dibuat.

 

Faedah berkenaan dikenakan pada kadar 8% setahun ke atas baki invois dan kos pengendalian serta penyimpanan bahan, manakala kadar 5.33% setahun dikenakan ke atas yuran guaman serta kos timbang tara yang ditetapkan.

 

Secara keseluruhan, faedah selepas keputusan terkumpul pada kadar harian kira-kira EUR368.99 dan SGD22.17 sehingga pembayaran penuh, berdasarkan pengiraan faedah mudah menggunakan tempoh 365 hari.

 

Bagaimanapun, tribunal menolak tuntutan Damen berhubung kos insurans.

 

Dari segi kesan kewangan, Destini berkata kumpulan telah membuat peruntukan sebanyak RM13.87 juta berhubung prosiding timbang tara itu setakat 30 Jun 2026.

 

Syarikat menjangkakan peruntukan tambahan kira-kira RM4.14 juta akan diiktiraf dalam penyata kewangan bagi suku kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Peruntukan tambahan itu dianggarkan mengurangkan aset bersih sesaham kumpulan sebanyak kira-kira 0.75 sen.

 

 

 

 

Bagaimanapun, keputusan berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi kumpulan.

 

Destini berkata pihaknya sedang mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang berhubung keputusan muktamad itu serta pilihan dan remedi yang tersedia, termasuk pendirian syarikat mengenai pembayaran jumlah yang diperintahkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved