Timbang tara tuntutan RM57.3 juta bermula, anak syarikat MHB kemuka tuntutan balas terhadap Haumea

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Timbang tara tuntutan RM57.3 juta bermula, anak syarikat MHB kemuka tuntutan balas terhadap Haumea Image from: Timbang tara tuntutan RM57.3 juta bermula, anak syarikat MHB kemuka tuntutan balas terhadap Haumea sarah21/10/2026 - 18:17 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - Pertikaian tuntutan kira-kira RM57.3 juta terhadap anak syarikat milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) kini memasuki proses timbang tara selepas Haumea Offshore Sdn Bhd memulakan prosiding rasmi berhubung kerja-kerja projek pembangunan semula Bokor Fasa 3.

 

MHB dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), menerima surat daripada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) melalui peguamnya pada 20 Oktober 2026 yang mengesahkan prosiding timbang tara berkenaan telah bermula pada 9 Oktober lalu.

 

Bagaimanapun, MMHE mempertikaikan keseluruhan tuntutan Haumea dan akan mempertahankan kedudukannya dalam prosiding itu, selain mengemukakan tuntutan balas terhadap syarikat berkenaan atas dakwaan kegagalan melaksanakan tanggungjawab di bawah kontrak.

 

Tuntutan balas MMHE merangkumi kos yang ditanggung bagi menyiapkan kerja-kerja di bawah subkontrak, caj balik serta ganti rugi tertentu (liquidated damages), yang akan dikemukakan sepanjang prosiding timbang tara.

 

Pertikaian itu berpunca daripada Subkontrak No. 3900007170 bagi kerja penyambungan dan pentauliahan serta penyediaan kapal marin untuk Projek Pembangunan Semula Bokor Fasa 3 (Pakej A), yang dilaksanakan oleh Haumea sebagai subkontraktor.

 

Pada 15 April 2025, MMHE menerima notis timbang tara bertarikh 11 April 2025 daripada peguam Haumea, membabitkan tuntutan indikatif kira-kira RM57.3 juta termasuk faedah, kos dan remedi lain. Bagaimanapun, notis tersebut ketika itu belum didaftarkan dengan AIAC dan prosiding timbang tara belum dimulakan.

 

MHB turut memaklumkan bahawa MMHE sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap dua keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, masing-masing berhubung pembatalan injunksi sebelah pihak yang diperolehnya serta penolakan saman pemula yang antara lain mencabar kesahihan dan masa pengeluaran notis timbang tara Haumea.

 

Susulan permulaan prosiding timbang tara, isu yang dibangkitkan dalam kedua-dua rayuan itu kini akan diputuskan oleh tribunal timbang tara. Sehubungan itu, MMHE akan mengambil langkah untuk menarik balik rayuan berkenaan.

 

Menurut MHB, prosiding timbang tara tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap operasi atau kedudukan kewangan kumpulan pada masa ini. MMHE akan terus menggunakan saluran undang-undang yang tersedia bagi melindungi kepentingannya, manakala MHB akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved