Detik Cemas Budak Dicampak Dari Tingkap Ketika Apartment Dijilat Api

3 Aug 2023 • 11:08 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Detik Cemas Budak Dicampak Dari Tingkap Ketika Apartment Dijilat Api

Satu klip rakaman dramatik memaparkan seorang kanak-kanak dicampak dari sebuah bangunan yang terbakar ke tempat selamat berjaya dirakam, lapor Daily Star.

Klip video aksi mendebarkan yang dimuat naik di YouTube menunjukkan orang ramai di kawasan Akkent di Almaty, Kazakhstan kelam-kabut cuba melarikan diri dari kebakaran yang berlaku pada 1 Ogos lalu.

Seorang kanak-kanak dapat dilihat dicampak keluar dari tingkat enam sambil sekumpulan orang awam berkumpul di bawah dengan memegang tilam untuk menyambutnya.

Menerusi rakaman video itu lagi, asap hitam boleh dilihat berkepul-kepul keluar dari tingkap di belakang mereka. Beberapa orang dewasa dapat dilihat bersedia untuk aksi tersebut.

Aksi itu berakhir dengan selamat selepas kanak-kanak tersebut berjaya mendarat di atas tilam berkenaan.

Orang dewasa yang menjatuhkan kanak-kanak itu kemudiannya turut melompat dari tingkap bangunan itu sambil disambut oleh orang ramai menggunakan tilam.

Menurut Jabatan Kesihatan Almaty, setakat 6.30 petang waktu tempatan, seramai 31 orang telah dibawa ke hospital di bandar itu.

Seramai 16 orang daripada jumlah itu dikatakan merupakan kanak-kanak.

Jurucakap Jabatan Situasi Kecemasan (DES) Almaty berkata: “Pada jam 5.10 petang, kakitangan berpangkat lebih tinggi DES dihantar ke daerah Alatau, daerah mikro Akkent, bangunan 54.

“Sebaik tiba, sebuah apartmen di tingkat lima bangunan kediaman 16 tingkat didapati terbakar dengan nyalaan api yang terbuka.”

Laporan menyatakan bahawa kabel elektrik telah terbakar di syaf lif di tingkat lima dan enam. DES juga turut melaporkan bahawa api telah berjaya dipadamkan.

Sejumlah kira-kira 250 hingga 300 orang perlu dipindahkan dengan 40 atau lebih diturunkan dari tingkap menggunakan tangga.

Jabatan itu berkata mereka telah menambah sebanyak 50 orang anggota penyelamat dan 14 trak bomba dikerahkan ke tempat kejadian.

Sementara itu, menerusi video muat naik itu lagi, orang ramai dapat dilihat cuba memecahkan tingkap di tingkat bawah.

Ia dipercayai merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Anggota bomba juga dapat dilihat menggunakan tangga untuk mengakses tingkap dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Beberapa mangsa yang masih terperangkap dilaporkan meminta orang ramai di bawah untuk meletakkan tilam kerana mereka juga bersedia untuk melompat keluar.

Sumber: Daily Star