Dewan kecoh, Jelutong bantah Kota Bharu guna perkataan ‘munafik’

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 4:34 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

RSN Rayer dan Takiyuddin Hassan ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Bantahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, terhadap ucapan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengundang pertikaian di Dewan Rakyat.

Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat selepas mendakwa penggunaan perkataan ‘munafik’ dan ‘hipokrit’ oleh Takiyuddin ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Takiyuddin menghuraikan hadis mengenai perbuatan memungkiri janji dan mengkhianati amanah sebelum merujuk perkataan ‘waad’ yang menurutnya banyak digunakan dalam ucapan belanjawan Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan bahawa perkataan bahasa Arab itu bermaksud janji, manakala perbuatan sering berjanji tetapi mengingkarinya merupakan antara tanda munafik.

Susulan itu, Rayer bangkit dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36(1) dan 36(6) serta membantah penggunaan ungkapan berkenaan.

“Perkataan munafik telah digunakan, iaitu kelakuan yang paling keji, dan ia telah dinyatakan terhadap Yang Berhormat Perdana Menteri. Takkan kita nak biarkan perkataan itu digunakan?” katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau, kemudian meminta Rayer mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membawa bantahan itu untuk tindakan lanjut.

“Saya sudah bagi petua, buat usul dan hantar ke Tan Sri Speaker,” katanya sebelum beberapa kali meminta wakil Jelutong duduk.

Gangguan masa perbahasan

Ketika bantahan dibangkitkan, Takiyuddin mempersoalkan gangguan terhadap masa perbahasannya dan menyifatkannya sebagai taktik.

Pertikaman lidah turut melibatkan wakil Beluran yang mempersoalkan tindakan menggunakan Peraturan Mesyuarat sehingga mengganggu ucapan ahli yang sedang berbahas.

Menurut wakil Beluran, gangguan berkenaan telah mengambil kira-kira enam minit masa perbahasan Takiyuddin.

Rayer bagaimanapun mempertahankan bantahannya dengan menegaskan beliau turut mendengar perkataan ‘hipokrit’ digunakan dan mendakwa ungkapan itu merujuk kepada Perdana Menteri.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Takiyuddin menekankan keperluan menilai prestasi belanjawan terdahulu berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), sebelum merangka belanjawan baharu.

Katanya, kejayaan belanjawan perlu diukur berdasarkan pencapaian objektif serta kesan sebenar kepada rakyat, bukan semata-mata jumlah peruntukan yang habis dibelanjakan.

Beliau memberikan contoh peruntukan RM10 juta bagi mengurangkan kemiskinan yang menurutnya perlu dinilai melalui penurunan kadar kemiskinan, bukannya sekadar memastikan wang itu selesai digunakan.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa kementerian, agensi dan jabatan perlu bertanggungjawab terhadap setiap sen yang dibelanjakan, selain melalui penilaian KPI yang ketat bagi mengelakkan pembaziran.

“Dengan kata lain, belanjawan yang lalu menjadi cermin untuk merancang belanjawan yang akan datang,” katanya.

Beliau kemudian membangkitkan persoalan mengenai kecekapan pelaksanaan projek pembangunan dengan merujuk penilaian Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara, sebelum ucapannya diselangi bantahan.

The post Dewan kecoh, Jelutong bantah Kota Bharu guna perkataan ‘munafik’ appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved