
KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila berlaku perbalahan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang susulan penggunaan istilah ‘munafik’ yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertelingkahan itu tercetus apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1), mendakwa perkataan berkenaan digunakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027.
Rayer turut mendakwa penggunaan istilah ‘munafik’ tidak wajar dibiarkan di Dewan Rakyat kerana membawa maksud yang sangat buruk, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan Perdana Menteri.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, yang didakwa membiarkan Takiyuddin menggunakan perkataan itu tanpa tindakan segera.
“Menjadi kesalahan bagi Ahli Dewan Rakyat menggunakan bahasa kurang sopan. Saya dengar tadi ayat al-Quran disebut, diikuti perkataan munafik yang digunakan.
“Yang di-Pertua hendak benarkan dia menggunakan perkataan ‘munafik’ terhadap Perdana Menteri dan kita biarkan sahaja?” katanya.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) memetik hadis mengenai tanda munafik, selain menjelaskan penggunaan perkataan ‘waad’ oleh Anwar ketika membentangkan RUU Perbekalan 2027 baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS itu kemudian menjelaskan bahawa ‘waad’ merupakan istilah pinjaman daripada bahasa Arab yang membawa pengertian janji.
Susulan pertelingkahan itu, Alice meminta Rayer mengemukakan usul kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat kecoh gara-gara istilah ‘munafik’ appeared first on Kosmo Online.






