KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh usaha membanteras amalan kartel, monopoli dan perlakuan antipersaingan yang menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
RUU itu antara lain memperkasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) supaya lebih berkesan menangani taktik baharu perusahaan yang cuba mengelak tindakan penguatkuasaan selain mencadangkan pengukuhan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan susulan peningkatan penggunaan teknologi dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pindaan berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan reformasi berfasa bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
"Kita mulakan dengan menutup jurang penguatkuasaan yang telah dikenal pasti sepanjang pelaksanaan Akta Persaingan 2010 termasuk memperkukuh kuasa penyiasatan, kajian pasaran, penyelesaian, aku janji dan sebagainya.
"Insya-ALLAH reformasi kawalan penggabungan ini kita letakkan dalam kerangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di bawah usaha memperkukuh ekosistem persaingan negara. Jadi, dalam tempoh RMK13 dari 2026 hingga 2030, kerajaan telah menyatakan bahawa agenda kawalan penggabungan serta penyelarasan kuasa persaingan akan dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Negara di sini.
Beliau berkata, rejim kawalan penggabungan amat penting bagi melengkapkan kerangka undang-undang persaingan negara, sekali gus membolehkan MyCC bertindak lebih meluas dan tidak hanya terhad kepada menangani isu kartel serta penyalahgunaan kedudukan dominan pasaran semata-mata.
Mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap skop penguatkuasaan, Fuziah memberi jaminan pindaan itu bukan bertindak mengongkong entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan, sebaliknya memfokuskan kepada aktiviti pakatan tersembunyi yang merosakkan pasaran.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, beliau berkata, landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi digital dan kemunculan model perniagaan baharu menyebabkan kaedah perlakuan antipersaingan turut menjadi semakin kompleks dan sukar dikesan.
Fuziah berkata, sepanjang pelaksanaan Akta Persaingan 2010, MyCC berdepan pelbagai isu dan cabaran yang menghalang suruhanjaya itu untuk mencapai objektif akta berkenaan dengan efisien kerana landskap pasaran kini jauh berbeza berbanding ketika akta itu diperkenalkan.
"Perusahaan yang berkartel atau terbabit dalam penyalahgunaan kedudukan monopoli dalam pasaran juga telah menjadi semakin kreatif dalam melaksanakan modus operandi amalan antipersaingan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Fuziah berkata, pindaan akta berkenaan akan memperkukuh peruntukan berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan, kuasa serta prosedur penyiasatan MyCC, proses membuat keputusan suruhanjaya dan mekanisme rayuan di Tribunal Rayuan Persaingan.
Beliau berkata, persaingan yang sihat dalam pasaran akan menggalakkan perusahaan meningkatkan kecekapan, inovasi dan kualiti produk, sekali gus menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna.
Pada 6 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan yang membabitkan 34 fasal termasuk peruntukan berhubung kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta tatacara membuat keputusan selain ketetapan mentadbir Tribunal Rayuan Persaingan. - Bernama





