
PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 dijangka diwartakan pada penghujung tahun ini selepas mendapat kelulusan Dewan Negara yang dijadualkan pada 4 Ogos ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, RUU berkenaan sebelum ini telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan pewartaannya akan membuka lembaran baharu dalam pengurusan statistik negara.
Katanya, pendekatan kerajaan kali ini berbeza apabila memberi keutamaan kepada kelulusan RUU terlebih dahulu sebelum usaha memperkenalkan dan memperluaskan kefahaman mengenainya kepada masyarakat.
“RUU ini kita lepaskan dahulu sebelum kita pukul canang kerana selepas ini kita mahu memberi penerangan kepada semua pihak berkepentingan mengenai kepentingan dan manfaatnya,” katanya di sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Menurut beliau, RUU Statistik 2026 turut menggantikan kerangka perundangan sedia ada yang berasaskan Akta Perangkaan 1965, yang disifatkan sudah tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, akta tersebut hanya pernah dipinda sekali pada 1989 dan pindaan itu melibatkan perubahan nilai mata wang daripada dolar kepada ringgit tanpa penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem statistik negara.
Katanya, usaha menggubal RUU baharu itu telah diusahakan sejak sekian lama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama Kementerian Ekonomi bagi memastikan sistem statistik negara lebih moden dan relevan.
“Apabila RUU ini diluluskan, kita mahu keputusan kerajaan dibuat berdasarkan data yang lebih tepat dan lebih menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah penubuhan Majlis Statistik Negara sebagai platform menyelaras serta memantau pembangunan statistik negara secara lebih menyeluruh.
“Selain itu, sebuah pusat repositori data akan diwujudkan bagi memperkemaskan proses pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai agensi kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, pusat berkenaan bukan bertujuan memindahkan pemilikan data kepada DOSM, sebaliknya memastikan data yang dikumpulkan diselaraskan mengikut piawaian yang seragam serta dilindungi daripada aspek kerahsiaan.
Katanya, RUU Statistik 2026 turut memperkukuh aspek kawal selia dan perlindungan data bagi meningkatkan keyakinan terhadap statistik rasmi negara serta menyokong proses membuat keputusan yang lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE
The post RUU Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun ini appeared first on Kosmo Digital.






