
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dilaksanakan bagi memperkukuh usaha membanteras amalan kartel, monopoli dan perlakuan antipersaingan yang dikenal pasti antara faktor menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 akan memperkukuh peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menangani taktik baharu perusahaan yang cuba mengelak tindakan penguatkuasaan.
Katanya, kerajaan perlu membanteras pelbagai taktik perusahaan yang memilih jalan pintas bagi memaksimumkan keuntungan tanpa mengamalkan persaingan sihat.
“Keuntungan itu bukan diperoleh melalui persaingan sihat, sebaliknya melalui amalan antipersaingan seperti penetapan harga, perkongsian pasaran, tipuan bida dalam perolehan kerajaan serta penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli dalam pasaran.
“Akibatnya, pengguna dan perniagaan lain terpaksa menanggung kesan melalui harga yang lebih tinggi, pilihan produk dan perkhidmatan yang lebih terhad, selain menerima kualiti yang lebih rendah.
“Keadaan ini kemudian menjadi salah satu sebab berlakunya peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika membentangkan RUU Persaingan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Fuziah berkata, persaingan sihat dalam pasaran akan menggalakkan perusahaan meningkatkan kecekapan, inovasi dan kualiti produk sekali gus membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih kompetitif.
Katanya, landskap ekonomi yang kini dipacu teknologi digital serta kemunculan model perniagaan baharu turut menyebabkan kaedah perlakuan antipersaingan menjadi semakin kompleks dan sukar dikesan.
“Dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, MyCC berdepan pelbagai isu dan cabaran yang menghalang suruhanjaya itu mencapai objektif akta berkenaan secara efisien. Landskap pasaran hari ini tidak sama lagi dengan landskap pasaran sebelum ini.
“Perusahaan yang berkartel atau terbabit dalam penyalahgunaan kedudukan monopoli dalam pasaran juga semakin kreatif melaksanakan modus operandi amalan antipersaingan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pindaan akta itu akan memperkukuh peruntukan berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan, kuasa dan prosedur penyiasatan MyCC, proses membuat keputusan suruhanjaya serta mekanisme rayuan di Tribunal Rayuan Persaingan.
6 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Persaingan yang mengandungi 34 fasal bagi memperkukuh Akta 712 termasuk peruntukan berkaitan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan, tatacara membuat keputusan serta ketetapan mentadbir Tribunal Rayuan Persaingan. – UTUSAN
The post Pindaan Akta Persaingan perkasa MyCC banteras kartel, monopoli appeared first on Utusan Malaysia.






